Digital Sandbox Pertama Di Sabah Dilancar Pertengahan Tahun Ini

yakub.jpg

KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) sedang bekerjasama dengan agensinya, Sabah Net Sdn. Bhd dan Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) untuk mewujudkan Digital Sandbox yang pertama di Sabah dan Malaysia Timur.

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, usaha ini akan dilancarkan selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini.

“Saya difahamkan oleh Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) bahawa ini merupakan Sandbox yang pertama di Sabah dan juga di Malaysia Timur,” katanya di Majlis Amanat Menteri KSTI yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.

Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam membangunkan teknologi dan inovasi di Sabah, katanya, usaha ini amat memberangsangkan bagi Kementerian untuk lebih gigih memperkembangkan lagi program seumpama ke daerah-daerah lain di samping menggunakan platform NTIS untuk memacu penyerapan inovasi ke Sabah.

Pihak KSTI juga berpeluang menggunakan platform NTIS untuk memacu penyerapan inovasi ke Sabah, katanya, sambil menambah kolaborasi strategik dengan NTIS juga membolehkan Kementerian memanfaatkan dana inovasi dari pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia.

“Sandbox akan menjadi satu platform kepada belia bagi menguji idea teknologi baru yang dapat memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta secara tidak langsung menggalakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI),” katanya.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai juga berkata, Kementerian melalui pemberian biasiswa akan menaja anak-anak sabah untuk melanjutkan pengajian di institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara, untuk pembangunan modal insan di negeri ini.

Katanya, pada tahun 2021, seramai 1,787 pelajar telah menerima tajaan dalam pelbagai bidang dan 60 peratus adalah bidang jurusan sains dan teknologi.

“Dalam usaha Kerajaan untuk membantu golongan B40 bagi meningkatkan taraf hidup, Kementerian juga telah memberikan tajaan biasiswa kepada pelajar golongan B40 di luar bandar untuk mengikuti program kursus Kemahiran.

“Program ini diwujudkan untuk membantu pelajar-pelajar golongan B40 di luar bandar bagi mendapatkan peluang pekerjaan di masa akan datang setelah tamat menjalani kursus.

“Seramai 170 pelajar yang terdiri daripada seluruh daerah telah berjaya ditemu duga dan ditempatkan di kolej-kolej kemahiran di sekitar Kota Kinabalu,” ujarnya.

Pada tahun ini, katanya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM55 juta kepada Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

“Justeru itu, pihak KSTI hendaklah memastikan peruntukan ini digunakan sepenuhnya pada tahun 2022. Pastikan anak-anak Sabah termasuk golongan B40 dan M40 mendapat peluang melanjutkan pelajar ke menara gading atau di pusat-pusat kemahiran,” katanya.

Beliau turut memaklumkan SCENIC yang ditubuhkan pada April 2020 telah berjaya melatih lebih kurang 9,000 orang secara fizikal dan maya melalui 3 tunjang utama – Keusahawanan berteraskan inovasi, teknologi dan inovasi serta teras kreatif.

“Sebanyak RM1.4 juta pelaburan telah berjaya diperolehi oleh bakat kita di Sabah dari 2020-2021. SCENIC juga telah berkolaborasi dengan lebih 190 rakan strategik dari sektor awam, swasta, komuniti dan institusi pengajian tinggi, baik di dalam mahupun di luar negara,” katanya.

Selain itu, katanya, SCENIC juga telah berjaya memperolehi status Authorized Training Centre oleh syarikat perisian animasi terkenal dunia Toon Boom Inc. yang pertama di Malaysia.

“Inisiatif ini adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat animasi yang seterusnya dapat mengkomersilkan karya mereka ke persada antarabangsa,” katanya.

Beliau juga mahu semua jabatan dan agensi di bawah KSTI perlulah bergerak pantas dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan demi kepentingan masyarakat khususnya dalam aspek STIE.

“Dalam usaha pembudayaan sains di dalam masyarakat, Kementerian akan meneruskan cadangan pembangunan pusat sains dan inovasi di bangunan Perpustakaan Negeri Sabah secara berfasa bermula di Perpustakaan Cawangan Keningau. Saya mohon pihak pengurusan memastikan agar projek ini dapat disempurnakan pada tahun 2022.

“Di samping itu, bantuan penyelenggaraan kecil makmal sains sekolah, pemberian dana peralatan makmal sains dan penubuhan Sudut Sains dan Inovasi di sekolah-sekolah terpilih hendaklah diperluaskan bagi memastikan pembelajaran dalam bidang sains ini dapat diteruskan.

“Kerjasama dengan pelbagai jabatan/agensi dalam memertabatkan STI di Sabah akan dipertingkatkan. Dalam konteks ini, saya menyeru kepada warga KSTI, Jabatan dan agensi untuk meningkatkan kerjasama strategik dengan rakan-rakan di persekutuan agar hasrat memartabatkan STIE di Sabah dapat dicapai dengan sebaiknya,” katanya.- Warta Oriental

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top