Didakwa Terbabit Penggubahan Wang Haram RM5 Juta: Muhyiddin Mengaku Tidak Bersalah

tsmy-1-1.jpg
Kongsi Bersama

SHAH ALAM: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta yang dimasukkan ke akaun parti Bersatu, awal tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

“Saya faham dan mengaku tidak bersalah,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri.

Mengikut pertuduhan, beliau yang juga bekas Perdana Menteri itu menerima wang daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, pada 7 Januari 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Manakala Muhyiddin diwakili sembilan peguam antaranya Datuk K. Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran dan Mohamad Isa Mohammad Basir.

Ketika prosiding, Ahmad Akram memohon kes Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Muhyiddin ada menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, maka saya mohon kes di sini didengar secara bersama di mahkamah berkenaan.

“Saya juga mohon mengguna pakai jaminan seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin serta syarat tambahan serahan pasport sehingga kes selesai.

“Kes hari ini disebut semula pada 26 Mei ini iaitu tarikh sama seperti di Kuala Lumpur. Saya diberitahu pihak pembelaan tidak membantah permohonan ini,” katanya.

Kumaraendran kemudian mengesahkan tidak membantah permohonan terbabit.

“Kami ada bon jaminan (RM2 juta) di Mahkamah Kuala Lumpur dan mohon diguna pakai di Mahkamah Shah Alam,” katanya.

Hakim membenarkan permohonan dibuat pendakwaan termasuk sebutan semula kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Mei ini, namun menegaskan satu lagi bon jaminan perlu ditandatangani kerana nombor kes berlainan.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top