KOTA KINABALU: Bekas pemain ragbi Sabah, yang didakwa membunuh adik perempuannya tiga bulan lalu, layak untuk membuat pengakuan dan dibicarakan, Mahkamah Majistret di sini diberitahu pada Isnin.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali semasa sebutan kes Arden Mattson Maturin pada Isnin dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa laporan psikiatri tertuduh telah diperolehi.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa laporan bertarikh 17 Ogos itu menyatakan tertuduh tidak mempunyai penyakit mental, layak untuk membuat pengakuan dan dibicarakan.
Arden dirujuk ke Hospital Mesra di sini pada 23 Mei susulan permohonan peguamnya untuk pemerhatian mental.
Timbalan Pendakwa Raya Jessica Ombou Kakayun memohon tarikh sebutan lain sementara menunggu laporan ahli kimia, patologi dan bedah siasat.
Arden, 26, didakwa melakukan jenayah itu terhadap Audrey Maturin, 24, antara 3.30 petang dan 4.30 petang pada 4 Mei lalu, di sebuah rumah, di Taman Prestij, Jalan Signal Hill.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Arden semasa sebutan pertama kes itu pada 12 Mei.
Majistret menetapkan 27 Sept untuk sebutan dan memerintahkan Arden ditahan reman selanjutnya kerana pertuduhan terhadapnya tidak mempunyai peruntukan untuk diikat jamin.
Arden diwakili peguam Julhamri Jumhani dan Faustina Tulus.
Berita asal: Harian Ekspress