Pada Sabtu 27 November lalu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Ahli Parlimen P180, ADUN N.39 Tambunan, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan telah merasmikan Pembukaan Pasar Malam Pekan Bingkor.
Dalam ucapannya Dr Jeffrey mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas idea membuka pasar malam di pekan Bingkor yang sejajar dengan dasar kerajaan untuk membantu meningkatkan ekonomi negeri Sabah dan juga luar bandar dalam dasar baru Sabah Maju Jaya. Pertanian dan pelancongan adalah antara fokus pembangunan dalam dasar tersebut.
Beliau juga berkata bagi membangunkan industri pertanian, kementerian yang diterajuinya telah melancarkan satu pusat kekal pengumpulan makanan di Liau, Apin-apin yang akan dilaksanakan tidak lama lagi dengan peruntukan sebanyak RM2.25 juta. Selain itu sebuah pusat pemprosesan buah-buahan dan produk-produk pertanian juga akan diusahakan kerana Keningau telahpun dikenalpasti sebagai daerah yang bakal dinamakan sebagai ‘Fruit Valley’, atau Lembah Buah-buahan.
Tambahnya, kementerian pertanian juga berusaha membantu petani padi di Apin-apin dengan benih padi baharu yang dinamakan padi Sah, untuk meningkatkan pengeluaran hasil daripada 2 hingga 3 tan kepada 7 hingga 8 tan.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Persatuan Kebudayaan & Kebajikan Etnik Kujau, Gana, Nabai Sabah (KGNS), dan persembahan lagu Gana dari Yolanda Inday Alexius.
Sumber berita dan foto: FB Jeffrey G. Kitingan Page