BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam, menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mengatakan bahawa Sabah tidak bersetuju dengan cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.
“Rakyat Sabah sememangnya hidup dengan lebih harmoni dengan kebebasan beragama, dalam suasana masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Contohnya, dalam satu keluarga di negeri ini, ada ahli-ahli keluarganya yang beragama Islam dan Kristian, malahan tinggal serumah lagi,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Menteri dalam kenyataan medianya berkata Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kata Hajiji, Sabah juga menyatakan tidak atas cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, sebagai salah satu daripada empat undang-undang syariah baharu yang akan diperkenalkan.