Dewan Rakyat Lulus Dua RUU, Serah Kuasa Kawal Selia Elektrik Kepada Sabah

nik-nazmi.jpg

Nik Nazmi

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, semalam, meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) sebagai persediaan bagi mengembalikan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah.

Dua RUU itu adalah RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 (Akta 725) dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 (Akta 726).

Kedua-dua RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu Nik Nazmi berkata, menerusi RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023, kuasa kawal selia elektrik di Sabah akan berada di bawah tanggungjawab kerajaan Sabah mulai 1 Januari 2024.

Bagaimanapun, katanya dalam mengembalikan kuasa kawal selia elektrik di Sabah, terdapat beberapa undang-undang yang perlu dipinda.

“Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik, sememangnya klausa penggantungan sudah sedia ada dalam akta berkenaan, namun bagi Akta Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Lestari tidak ada klausa, maka kita terpaksa pinda bagi memberikan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Sabah.

“Kerajaan Persekutuan juga menyediakan geran berjumlah RM2.3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan pinjaman RM1.14 bilion di bawah RMK-10 bagi pelaksanaan projek pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Sabah yang dilaksanakan oleh pasukan projek khas bekalan elektrik Sabah dan Sabah Electricty Sdn Bhd,”katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.

Nik Nazmi, berkata skim Tarif Galakan (Feed-in Tariff – FiT) diperkenalkan pada tahun 2011 bagi merancakkan perkembangan dan pembangunan industri TBB negara dan Akta Tenaga Boleh Baharu [Akta 725] digubal serta diwartakan pada 2 Jun 2011 bagi menyediakan suatu kerangka perundangan untuk mengawal selia pelaksanaan mekanisme ini di Semenanjung Malaysia dan Negeri Sabah.

Katanya, sekiranya kerajaan memutuskan untuk menyerahkan kuasa autonomi pembekalan elektrik kepada Sabah, Akta 725 juga perlu digantung pemakaiannya di Sabah supaya proses penyerahan kuasa untuk pembekalan elektrik termasuk daripada sumber TBB dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menimbulkan implikasi terhadap aspek perundangan kelak.

“Ketika ini Akta 725 tidak mengandungi peruntukan yang membolehkan pemakaian akta ini digantung di mana-mana bahagian di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, pindaan ke atas akta ini perlu dilakukan bagi memasukkan peruntukan berkenaan supaya proses dan urusan penyerahan kuasa berkenaan boleh dilakukan sekiranya keputusan ditetapkan Kerajaan.

“Pindaan ini membabitkan dua fasal sahaja iaitu, Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan tentang permulaan kuat kuasa Akta.

“Fasal 2 pula bertujuan untuk meminda Seksyen 1 Akta 725 dengan memasukkan subseksyen baharu iaitu Subseksyen (3), untuk memberi menteri kuasa untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta 725 di bahagian-bahagian yang berlainan di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, Akta 726 juga tidak mengandungi peruntukan yang membolehkan pemakaian akta itu digantung di mana-mana bahagian di Malaysia.

Katanya, Akta 726 adalah akta yang diwujudkan bagi memperuntukkan kuasa terhadap penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Energy Development Authority atau SEDA, sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan fungsi dan kuasa terhadap perkara-perkara berkaitan tenaga lestari termasuk pelaksanaan mekanisme tarif galakan atau FiT yang diperuntukkan di bawah Akta 725 di Semenanjung dan Sabah.

“Pindaan ke atas akta ini perlu dilakukan bagi memasukkan peruntukan berkenaan supaya proses dan urusan penyerahan kuasa autonomi pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah, termasuk fungsi kawal selia terhadap perkara-perkara berkaitan tenaga lestari khususnya mekanisme FiT dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya. – HMetro

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top