Dewan Muslimat PAS Kalabakan Usul Tanding PRU 15

Dewan-Muslimat-Kalabakan.jpg
Kongsi Bersama

KALABAKAN: Dewan Muslimat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kalabakan mahu memastikan parti itu mendapat kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.

Kenyataan itu dikemukakan semasa membawa usul dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kalabakan Ke-10 yang diadakan pada Ahad, di sini.

Pengarah pilihan raya Dewan Muslimat Kalabakan, Arbayani Amin berkata pihaknya berharap usul itu akan mendapat perhatian daripada Perhubungan PAS Sabah.

“Dewan Muslimat berharap PAS Kalabakan berjaya mendapatkan kerusi untuk bertanding pada PRU akan datang memandangkan kita berkeyakinan mampu memenangi hati pengundi.

“Kita sudah bersiap sedia menghadapi PRU pada bila-bila masa dan semua jentera di peringkat akar umbi komited menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, PAS Kalabakan mempunyai jentera yang berpengalaman dan berkemahiran dalam lapangan sebelum ini dan tidak pernah berhenti meneruskan kerja-kerja turun padang menyantuni rakyat.

“Selain itu, calon yang kita ketengahkan adalah dalam kalangan yang berpendidikan tinggi, berintegriti dan bebas daripada sebarang rekod jenayah mahupun rasuah,” katanya.

Menurutnya, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini adalah hasil kerjasama yang ditunjukkan oleh PAS Sabah.

“PAS yang menjadi sebahagian daripada kerajaan GRS juga semakin diterima oleh rakyat Sabah dan kita optimis boleh memenangi kerusi Kalabakan sekiranya diberikan peluang bertanding.

“Kita berharap PAS Kalabakan diberikan peluang itu, sekali gus mampu melakar sejarah memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi di Sabah,” katanya.

Terdahulu, usul berkenaan telah diterima sebulat suara oleh semua perwakilan yang hadir dalam mesyuarat agung tersebut.-Utusan Borneo

Sumber foto; Harakahdaily


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top