Desakan pemimpin UMNO minta Hajiji letak jawatan, tidak masuk akal

Datuk-Jalumin-Bayogoh.jpg

Datuk Jalumin

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Desakan dari beberapa pemimpin UMNO yang meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan adalah tidak berasas dan tidak masuk akal kerana kerajaan negeri kini berada dalam keadaan kukuh, stabil, dan berfungsi sepenuhnya, kata Pengarah Komunikasi Parti STAR, Datuk Jalumin Bayogoh.

Jelasnya, suara-suara sumbang dari UMNO ini justeru adalah tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan politik dan wajar dihentikan demi memberikan ruang dan masa kepada pihak berkenaan untuk menjalankan tanggungjawab.

“Kerajaan Sabah memerlukan sokongan dari semua pihak, termasuk pemimpin-pemimpin dari UMNO untuk bekerjasama memastikan rakyat mendapat segala sokongan dan kemudahan menghadapi cabaran ekonomi dan sosial semasa.

“Adalah penting bagi semua pihak untuk terus memberi kepercayaan kepada pentadbiran Ketua Menteri dalam memastikan negeri Sabah terus maju.

“Sebarang ketidakpuasan atau perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan melalui saluran perundingan dan dialog yang konstruktif, bukannya desakan yang boleh memecahbelahkan perpaduan,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, di mata rakyat, Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Menteri sedang berusaha untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan semua program pembangunan yang dirancang berjalan lancar tanpa gangguan.

“Saya menyeru semua pihak untuk mengetepikan perbezaan politik demi masa depan negeri Sabah yang lebih baik. Tambahan pula, pilihan raya negeri pasti akan diadakan tahun depan, jangka masa beberapa bulan lagi tidaklah lama sekiranya digunakan untuk memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Mengenai video-video beberapa Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diviralkan oleh portal berita berbayar kebelakangan ini, biarlah pihak berwajib seperti PDRM dan SPRM melakukan tugas mereka.

“Perkara begini bukan baharu atau pertama kali berlaku di Sabah, kita percaya pihak berkuasa tahu apa yang mereka lakukan, maka itu, janganlah berkelakuan seperti badut dengan memandai menjatuhkan hukuman sebelum siasatan dilakukan,” ujarnya.

 

— Mirlen Axtius/Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top