Desak Filipina gugur Tuntutan Ke Atas Sabah Serta-merta – Azis Jamman

azis-jamman.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mendesak kerajaan Filipina untuk menggugurkan serta-merta tuntutan yang dibuat ke atas Sabah atau berdepan tindakan yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, kata Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman.

Beliau berkata, kerajaan perlu buktikan apa yang selalu disebut oleh pemimpin mereka bahawa “Malaysia akan mempertahankan setiap inci tanah di Wilayah Sabah”.

“Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah bukanlah baharu, apa yang mengecewakan selepas 58 tahun Sabah berada di dalam Malaysia, isu ini masih berlarutan dan cuma kedengaran hangat menjelang pilihan raya di Sabah.

“Ia bukan sahaja dijadikan modal politik oleh pemimpin Malaysia mahupun pemimpin Filipina, buktinya, sejak setahun berakhirnya PRN di Sabah, isu tuntutan Filipina ini tiba-tiba tidak kedengaran lagi,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Azis yang juga Ketua Pemuda Warisan berkata, kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang serius dalam isu tuntutan berkenaan dengan mengetengahkan serta menyuarakan dalam sidang-sidang antarabangsa.

“Justeru, “once and for all’, kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang serius, jangan hanya dilaungkan pada musim pilihan raya tetapi perlu diketengahkan dan disuarakan, di dalam sidang-sidang antarabangsa contohnya ASEAN, Negara-Negara Berkecuali mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Terdahulu, Azis turut menyeru kerajaan supaya memaksimumkan penggunaan aset-aset pertahanan negara untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Katanya, punca kehadiran PATI ini adalah disebabkan terdapatnya banyak lorong-lorong tikus yang menjadi akses mudah kepada PATI selain wujudnya pihak yang menjadi pemudahcara kemasukan mereka bagi tujuan mengaut keuntungan peribadi.

“Kenapa kita tidak memaksimumkan penggunaan aset-aset pertahanan negara dan kenapa kita tidak meletakkan aset-aset ini di tempat yang lebih strategik demi menjamin keselamatan negara?

“Contohnya, Kem Lok Kawi Putatan, yang menempatkan Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kem Paradise yang terletak di Kota Belud

“Apa perlunya kem-kem ini dikekalkan di zon yang tidak pernah menghadapi sebarang ancaman luar sejak puluhan tahun? Saya juga difahamkan, kem ini akan dinaiktaraf, untuk apa?

“Bukankah sekarang ini, kita sudah tidak berhadapan dengan ancaman komunis dan bukankah jika terdapat serangan ke atas Pantai Timur Sabah, kerahan daripada kem-kem ini akan mengambil masa?,” soalnya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top