Demam babi Afrika: Keningau kembali jadi zon merah

ASF.jpg
Kongsi Bersama

KENINGAU: Demam babi Afrika (ASF) telah dikesan muncul semula di daerah ini dan melibatkan seorang penternak khinzir di sebuah kampungdi sini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata jangkitan itu dikesan pada Selasa lepas, melibatkan 12 daripada 20 ekor khinzir milik penternak berkenaan.

“Jabatan perkhidmatan veterinar cawangan Keningau telah melupuskan khinzir-khinzir berkenaan dan mengenakan kawalan pergerakan khinzir ke atas ladang yang terjejas,” katanya.

Jeffrey berkata penemuan itu menyebabkan Keningau telah kembali daripada zon hijau (pemulihan) kepada zon merah (berjangkit).

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata siasatan di lapangan mendapati khinzir terbabit menunjukkan gejala seperti kurang selera makan, lemah, hidung berair dan akhirnya mati

Beliau berkata langkah kawalan pantas dilaksanakan jabatan itu di bawah Enakmen Haiwan 2015, dan penternak dinasihatkan untuk memperkukuh langkah biosekuriti di ladang dan kandang mereka.

“Selain itu, sekatan kawalan pergerakan khinzir dan produknya dari daerah Keningau turut dilakukan, begitu juga pemantauan secara aktif dan pasif turut dipertingkat di seluruh Sabah bagi memastikan penyakit ini tidak menular.

“Penternak juga telah diarahkan untuk mengelak memberi makan khinzir sisa dapur yang belum dimasak, melawat ladang yang dijangkiti atau membeli khinzir atau daging khinzir daripada sumber yang tidak disahkan,” katanya.

Jeffrey menjelaskan bahawa virus ASF merebak melalui sentuhan langsung dengan khinzir yang dijangkiti atau secara tidak langsung melalui peralatan atau pengendali yang tercemar.

“Orang ramai terutama penternak dan pengusaha ladang khinzir diminta melaporkan sebarang kejadian khinzir yang sakit atau mati ke pejabat jabatan perkhidmatan veterinar berhampiran untuk tindakan segera,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top