KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd. Ali bersedia untuk berdebat secara bersemuka dengan pemimpin Parti Warisan (Warisan) mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk berdebat namun, perdebatan yang berlangsung harus berlaku dalam suasana harmoni dan adil bagi memberi ruang sebaik-baiknya kepada pihak yang terlibat mengemukakan hujah masing-masing.
“Malah, cadangan berdebat itu datang daripada saya sebagai alternatif kepada cadangan mereka (pemimpin Warisan) untuk masing-masing buat live streaming.
“Kalau berdebat, apa yang mereka cakap, saya boleh jawab terus maka, orang ramai dapat menilai apa faktar sebenar dan paling penting kita dapat mengemukakan bukti-bukti dan dokumen yang ada agar orang ramai dapat perspektif yang benar.
“Perdebatan ini bukan tentang menang atau kalah tapi, ini persoalan untuk mengemukakan fakta sebenar kepada rakyat Sabah untuk mengetahui kedudukan sebenar agar rakyat mempunyai kefahaman bersandarkan kepada fakta yang jelas dan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui semalam.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, selaku menteri bertanggungjawab dalam isu MA63, beliau mahu memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah mengikut landasan dan fakta yang tepat.
“Itulah apabila orang tanya kenapa saya perlu layan (cabaran pemimpin Warisan), bagi saya ia perlu dilayan sebab fakta-fakta yang mereka mengelirukan dan perkara ini berkait rapat dengan tanggungjawab saya dan paling dahsyat nama saya dipetik jadi, saya kena beri maklum balas.
“Kalau tidak respons, seolah-olah saya cuba sembunyikan perkara tertentu. Tiada apa yang saya mahu sembunyikan kerana fakta ada pada saya.,” katanya.
Mengenai keperluan menyahklasifikasi dokumen berkaitan MA63, beliau berkata, dokumen tertentu adalah sulit dan rahsia. Kerajaan mempunyai alasan kenapa ia dikategorikan dokumen sulit dan rahsia.
Namun, apabila ada perkara-perkara yang disebut pemimpin Warisan yang mengelirukan berkaitan dokumen-dokumen itu, Armizan mencadangkan agar dokumen tertentu dinyahklasifikasi atau diturun taraf.
Walau bagaimanapun, ia terpulang kepada kerajaan dan agensi-agensi berkaitan untuk menurunkan taraf dokumen-dokumen berkenaan.
Semalam, menerusi laman media sosial, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman meminta Armizan menyahklasifikasi beberapa dokumen berkaitan mesyuarat MA63 sebelum mengajaknya berdebat secara bersemuka.
“Nyah klasifikasi dokumen-dokumen itu, jangan pilih-pilih, surat mana mahu dinyahklasifikasi. Kalau mahu, dinyahklasifikasi semua dokumen.
“Setelah semua dokumen dinyahklasifikasi maka, tetapkan tarikh dan bawa semua dokumen berkaitan untuk diedarkan kepada penonton termasuk dalam semua laman media sosial,” katanya. – Warta Oriental