DBP Umum Senarai Pemenang Hadiah Sastera Sabah 2020/2021

jasni-matlani.jpg

Jasni

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sasterawan Datuk Jasni Matlani sekali lagi membuktikan keunggulannya  apabila bukunya `Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di Dalam Gelas’ terpilih sebagai pemenang Kategori Kumpulan Cerpen Hadiah Sastera Sabah (HSS)  2020/2021.

Selain itu, penyair Indra Jokina terpilih sebagai pemenang kategori Kumpulan Puisi HSS melalui karyanya Dalam Mimpi yang Bermimpi.

Perkara itu dinyatakan dalam pengumuman Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang sudah lama dinantikan golongan penulis di negeri ini.

Dalam pengumuman itu juga memperlihatkan  kemunculan beberapa nama baru sebagai pemenang hadiah sastera berprestij itu.

Penulis Saindah Kanalam menang Kategori Novel Dewasa melalui karyanya Cinta Ichiro di Lembah Padas terbitan DBP, Zainab Nawab Khan menang kategori Novel Remaja melalui Gema di Lembah Ayangan terbitan DBP manakala Mohd Firdaus Salam menang kategori Novel Kanak-Kanak melalui Rentak Tari Fatiha terbitan DBP.

Menurut kenyataan DBP Sabah, Hadiah Sastera Sabah diwujudkan bagi tujuan menilai dan memberikan penghargaan kepada karya penulis Sabah yang dihasilkan pada tahun penilaian dalam beberapa kategori, iaitu Novel Kanak-kanak, Novel Remaja, Novel Dewasa, Puisi Eceran, Kumpulan Puisi, Kumpulan Cerpen, Cerpen Eceran, Esei Kritikan Sastera Separa Ilmiah dan Esei Kritikan Sastera Ilmiah.

Sementara itu, 10 cerpen terpilih untuk memenangi kategori Cerpen Eceran Hadiah Sastera Sabah 2020/2021.

Cerpen-cerpen itu ialah “Cerita Burung yang Muncul di Jendela, Si Pemikat Burung dan Pemancing Aneh” oleh Jasni Matlani (Wadah, Oktober 2020),“Cik Manis Lawan Daim” oleh Ruhaini Matdarin (Wadah, Oktober 2020),“Senja Paitan” oleh Jamail Masador (Wadah, Disember 2020),“Bagaimana Aku Dapat Bersama Mayatmu” oleh Rita Robert Rawantas (Berita Harian, Februari 2020), “Aini Tag An, Kekasih 14 Hari” oleh Mohd Azrone Sarabatin (Wadah, Disember 2020),“Hujung Tepoh” oleh Yatim Ahmad (Wadah, Jun 2020),“Matanya Berkaca-kaca” oleh Welin Ebal (Wadah, Jun 2020),“Kedai Buku di Negara Antah Ber-Entah” oleh Nur Fatina Muhammad (Tunas Cipta, Jun 2020),“Ladang Anggur dan Sekeping Kertas Putih” oleh Juri Durabi (Wadah, September 2020),“Jejak-jejak yang Tertinggal” oleh Kathirina Tati (Antologi Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun GAPENA, 2020).

Bagi kategori Drama Pentas, DK Mastura Pg Ismail menang melalui naskhahnya Dengarlah Cerita yang diterbitkan di Dewan Sastera,  Julai  dan Ogos 2021.

Panel penilai juga memilih 10 puisi yang layak memenangi kategori Puisi Eceran daripada 345 buah puisi yang diterima untuk dinilai. Puisi -puisi terbaik itu ialah “Kota Kami Kekasih Terluka; Sepetang di Gat Prangin” oleh Rita Robert Rawantas (Wadah, Oktober 2020),“Lidah yang Dirindui Ular” oleh Norawi Haji Kata (Dewan Sastera, Julai 2021),“Melihat Mural di Tembok Jati Diri” oleh Saibil Madun (Utusan Borneo, 2021),“Tetamu” oleh Dayana Dian (Selangor Kini, Mac 2020),“Seperti Engkau” oleh Mabulmaddin Shaiddin (Media Cakra Bangsa, Jun 2021),“Pusara Adalah Ingatan” oleh Siti Alimah Kamarudin (Kek Hari Jadi, Penerbit Kata Pilar, 2021),“Lorong Umar Lorong ke Muthmainnah” oleh Siba Nita As (Utusan Borneo,   September 2020),“Pusaka” oleh Hasyuda Abadi (Antologi Suara dari Satu Musim, Jom Sastera, Ogos 2020) ,“Perjalanan Merentas Waktu” oleh Jed Stellarose (Wahyu Merah Ungu, Penerbit Kata Pilar, 2020) dan “Perlawanan” oleh Ruhaini Matdarin (Wadah, Disember 2020)

Bagi kategori Esei Kritikan Sastera Ilmiah, sembilan buah karya dicalonkan namun semua karya ini tidak dapat disenarai pendek kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan untuk penilaian selanjutnya. Bagi kategori Esei Kritikan Separa Ilmiah, karya yang layak diberikan hadiah ialah “Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam Kumpulan Puisi Nyanyian Kuda Sembrani”, oleh Norawi Haji Kata yang tersiar dalam Majalah e-Kreatif keluaran September 2021.

“Secara keseluruhan, Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 mengekalkan momentum peningkatan mutu karya dalam genre penulisan kreatif. Dalam kategori eceran mahupun buku, perkembangan pengkaryaan penulis Sabah dalam karya kreatif berada pada aras yang baik.

Mereka mengemukakan idea yang relevan dengan situasi semasa dan ini menandakan mereka mengikuti perkembangan zaman” menurut kenyataan itu.

Penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 akan diraikan dalam sebuah majlis yang dijangka diadakan pada suku tahun pertama 2023. – Sabah360online

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top