KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menutup sementara beberapa taman awam di bandaraya ini bermula hari ini (31 Disember) sehingga 1 Januari 2022.
Mayor DBKK Datuk Noorliza Awang Alip dalam kenyataannya pada Khamis berkata, tindakan penutupan sementara itu sebagai langkah kawalan pencegahan penularan wabak COVID-19.
Katanya, langkah itu juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 yang dilaksanakan sekarang.
“Taman awam yang terlibat adalah Taman Awam Teluk Likas, Taman Awam Teluk Likas 2 dan Pantai Tanjung Aru 1,” katanya.
Menurutnya lagi, penutupan bermula jam 1 petang 31 Disember sehingga jam 6 pagi 1 Januari 2022.
Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk tidak mengunjungi dan menggunakan taman-taman berkenaan semasa tempoh penutupan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19.