DBKK rangkul 2 anugerah di Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021

DBKK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima Pengiktirafan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cemerlang Program Kesihatan Persekitaran KPKT Tahun 2021 bagi dua kategori, iaitu Program Premis Makanan Bersih (Anjung Senja) dan Program Pasar Awam Bersih (Pasar Besar Kota Kinabalu).

Pengiktirafan berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 yang berlangsung di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. pada 12 November.

Sejumlah 105 PBT dari seluruh negara telah menyertai program tersebut yang berlangsung dari bulan Mac hingga Ogos 2021, yang mana 4 kategori telah dipertandingkan dan 3 pemenang dari setiap kategori diberi pengiktirafan cemerlang.

Program Premis Makanan Bersih PBT 2021 dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan premis makanan medan selera terpilih kepada gred B dan ke atas; mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemilik premis makanan untuk meningkatkan tahap kebersihan premis mereka; dan meningkatkan nilai estetika medan selera yang terlibat.

Manakala, objektif Program Pasar Awam Bersih PBT 2021 adalah untuk meningkatkan kualiti pengurusan pasar awam dan status sanitasi pasar awam di seluruh negara; mendapatkan komitmen dan kebertanggungjawaban PBT dalam program dan perkhidmatan pembersihan pasar; memperkenal dan mempromosikan konsep ‘Pasar Sejahtera’; dan mewujudkan satu sistem pengurusan pasar yang seragam, bersistematik dan efektif dalam program pengurusan pasar awam di kawasan PBT.

Sementara itu, di DBKK, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip telah berbesar hati menerima anugerah berkenaan dan bergambar bersama ahli-ahli Jawatankuasa Program Kesihatan Persekitaran DBKK yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Robert Lipon.

Turut hadir, ketua-ketua jabatan yang terlibat, iaitu Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB), Syron A. Tunggolou; Pengarah Jabatan Pelesenan, Lizawana Matin; Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Leong Tze Fui,; Pengarah Jabatan Landskap, Rozie Khan; dan Pengarah Jabatan Pengurusan Data dan Pendigitalan, Rusli Nurdin.

Para pegawai lain yang hadir ialah Pemangku Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Arinah Atim; Ketua Bahagian Alam Sekitar, Morin Benedict; Ketua Bahagian Pengurusan Pasar dan Jabatan Pelesenan, Rayner C. John; dan Suriana Salasan, Bahagian Kawalan Keselamatan dan Mutu Makanan.

DBKK mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas penganjuran program tersebut.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah atas pencalonan DBKK menyertai program berkenaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top