DBKK Perlu Beri Perhatian Aspek Kebersihan, Keharmonian Dan Keselamatan – KM

KK-clean-up.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kebersihan, keharmonian dan keselamatan dalam kawasan bandar raya merupakan aspek yang perlu diberikan perhatian utama oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), demikian kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Tegas beliau, bandar raya Kota Kinabalu yang bersih, indah dan ceria akan menarik kehadiran pelancong, sekali gus dapat memperkasakan pertumbuhan ekonomi menerusi sektor berkenaan.

“Amat penting DBKK mewujudkan sebuah bandar raya yang disukai ramai, lebih bersih, harmoni dan menjadikan `KK Bandar Kesukaan Saya’ atau “My Favourite City KK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan ‘Program Love KK’ dan ‘KK Clean-Up Day’ di Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Datuk Yakub Khan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Hajiji optimis, dengan sokongan dan penglibatan semua warga bandar raya, kerajaan akan dapat menambah baik dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur serta kelestarian hijau di Bandar Raya Kota Kinabalu.

“Sudah pasti ini juga akan menyumbang kepada pencapaian Hala Tuju DBKK iaitu ke arah “Kota Kinabalu Sejahtera,” tambahnya.

Katanya,’ Program Love KK’ dan’ KK Clean Up Day’ merupakan inisiatif DBKK untuk menggalakkan penyertaan warga bandar raya yang berbilang kaum, agama dan peringkat umur dalam aktiviti kemasyarakatan, berbakti dan memberi sumbangan kepada Bandar Raya Kota Kinabalu.

“Ini sejajar dengan usaha untuk membentuk, membangunkan komuniti yang inklusif dalam persekitaran bandaraya berkualiti, berdaya huni, memupuk semangat perpaduan, penyertaan komuniti melalui kolaborasi yang efektif, memberi manfaat kepada masyarakat dan kumpulan sosial yang disasarkan serta membantu mencapai pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya”, tegasnya.

Menurutnya, kelestarian hijau juga menjadi intipati dalam komponen KK Hijau yang mementingkan aspek keterkaitan dan kelestarian dalam pembangunan infrastruktur Bandar Raya Kota Kinabalu.

Hajiji berkata, teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) khususnya berkaitan dengan pelancongan turut diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai komponen dalam Program Love KK dan KK Clean Up Day iaitu KK bersih, KK Ceria dan KK Indah.

Beliau berkata, program itu juga tidak mengabaikan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat di dalam SMJ, dengan pelaksanaan komponen seperti KK Berdaya Huni, KK Sihat dan KK Warisan yang memfokuskan program peningkatan kualiti kehidupan rakyat serta keselamatan.

Menyentuh beberapa garis panduan berkaitan bandar raya yang dilancarnya, Hajiji yakin ia akan membentu menambah baik kualiti kehidupan warga bandar raya.

“Kerajaan negeri juga akan terus memberi sokongan kepada setiap program yang dilaksanakan DBKK bagi membangunkan bandar raya ini dalam semua aspek,” tegasnya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top