KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan memulakan perkhidmatan “Drive-In” hari ini (11 Mac).
Menurut Datuk Bandar Datuk Noorliza Awang Alip, DBKK telah memutuskan untuk menyediakan perkhidmatan “Drive-In” bagi membolehkan pelanggan kurang upaya, warga emas dan wanita hamil mendapatkan perkhidmatan mereka tanpa perlu turun dari kenderaan.
“Pewujudan perkhidmatan itu adalah cara Dewan Bandaraya menyokong aspirasi kerajaan Sabah untuk mentransformasikan pengurusan dengan meningkatkan ketelusan dan keberkesanan perkhidmatan awam.
“Orang ramai digesa menggunakan perkhidmatan ‘Drive-In’ yang bermula pada 11 Mac 2022 (Jumaat) dan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat kecuali pada cuti umum di tempat letak kereta berhadapan bangunan ibu pejabat Dewan Bandaraya di mana lima petak parkir telah diperuntukkan. Waktu operasi adalah antara 8 pagi dan 2 petang,” katanya.
Perkhidmatan yang diberikan ialah bayaran kadar dan kompaun, pembelian tiket dan borang letak kereta, serta bayaran am.
Orang ramai yang mendapatkan perkhidmatan itu dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard bagi Covid-19 dan dikehendaki memakai topeng muka bagi mengekang penularan virus itu.