KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berjaya melupuskan sebanyak 97 tan sampah menerusi Program ‘KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar’.
Menurut kenyataan DBKK semalam, program berkenaan diadakan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei lepas.
Pada hari pertama program, sebanyak 32 tan sampah dilupuskan, diikuti 24 tan sampah pada hari kedua dan 41 tan sampah pada hari ketiga.
Jumlah keseluruhan 97 tan sampah yang dilupuskan itu turut melebihi jangkaan dan sasaran yang ditetapkan oleh DBKK.
Objektif utama penganjuran program ‘KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar’ adalah untuk mewujudkan kesedaran sosial dalam kalangan penduduk dan pengusaha agar bertanggungjawab lebih serius dalam menjaga kebersihan persekitaran Bandar Raya Kota Kinabalu.
Menerusi program ini juga, pihak DBKK menghargai kerjasama dan penglibatan positif penduduk dari Kampung Lok Urai, Kasuapan, Lobong, Pulau Gaya Asli, dan Torong Logong di Pulau Gaya, serta Kampung Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar.
DBKK turut melihat kejayaan pelaksanaan program kali ini adalah hasil usaha bersama yang boleh memberi impak besar.
Pada masa sama, ia turut menunjukkan komitmen dan kecekalan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan.
Sehubungan itu, pihak DBKK mengucapkan tahniah kepada semua penduduk Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar dan berharap usaha berkenaan menjadi inspirasi kepada komuniti lain untuk menjaga alam sekitar dengan penuh tanggungjawab. – Utusan Borneo