KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencatat sejarah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di peringkat negeri yang memeterai kerjasama rasmi dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Nota Kerjasama ini ditandatangani oleh Mayor DBKK Datuk Seri Dr. Sabin Samitah bersama Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil dalam satu majlis pada 5 september lepas.
Sabin berkata, kerjasama berkenaan melibatkan tiga skop utama, Maklumat Pemilikan Harta, Maklumat Pemegang Lesen, dan Maklumat Penyewa.
Katanya, ia bertujuan memperkukuh pengurusan kewangan dan memerangi jenayah kewangan dengan lebih berkesan, memastikan maklumat yang tepat dan terkini tersedia untuk pengawalan dan pemantauan yang sistematik.
Beliau turut menekankan agar Nota Kerjasama itu akan meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan pengawasan kewangan di DBKK.
“Kerjasama ini juga akan memperbaiki keupayaan bandar dalam mengesan dan menangani ketidak telusan pengurusan kewangan melalui integrasi data secara masa nyata.
“Selain itu ia menjadikan pentadbiran lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, usaha itu juga secara tidak langsung menaikkan kepercayaan penduduk Bandaraya Kota Kinabalu terhadap pengurusan pentadbiran organisasi DBKK.
Menurutnya, perjanjian itu membuka lembaran baharu dalam kolaborasi jangka panjang yang akan memperkukuh kesejahteraan bandar raya.
Pada masa sama jelasnya, ia memastikan keadilan dan ketelusan kewangan terus terpelihara demi kepentingan masyarakat dan negara.
Sementara itu, Shamshun berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memperkukuhkan pengurusan dalaman DBKK, malah berpotensi menjadi model contoh bagi PBT lain di seluruh negara.
“Dengan strategi perkongsian data yang kukuh, DBKK akan terus menjaga integriti dan meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus bandar raya.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan setiap aspek pengurusan kewangan dan pengawalan jenayah dilaksanakan dengan penuh disiplin serta kepatuhan.
“Ia seiring dengan matlamat NFCC untuk mengurangkan ancaman jenayah kewangan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama ini diharapkan akan mencetuskan peluang kolaborasi jangka panjang yang lebih berkesan, demi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan ketelusan kewangan dapat dipertingkatkan secara mampan.
Upacara menandatangani Nota Kerjasama ini turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pembangunan DBKK Lifred Wong serta Penasihat Undang-undang NFCC Mohd. Syahrizal Shah Zakaria bersama-sama dengan pegawai-pegawai tertinggi DBKK dan NFCC. – Utusan Borneo