KOTA KINABALU: Seribu dua puluh pek bubur lambuk diagih Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada pengunjung Bazar Ramadan Lintasan Deasoka.
Menurut Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang Alip, pengagihan bubur lambuk itu merupakan acara tahunan bersama Syarikat Nestle Sdn Bhd pada bulan Ramadan.
“Selama dua tahun Bazar Ramadan tidak diadakan dan apabila ia dibuka semula pada tahun ini, sambutan amatlah menggalakkan cuma bezanya tahun sebelumnya kita memasak.
“Kali ini, Persatuan Bulan Sabit Merah memasak bubur lambuk, bahan-bahan disediakan oleh Maggi dan beras ditaja oleh Sazarice.
“Sempena Ramadan, semua lokasi bazar Ramadan mempunyai kawalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
“Untuk bazar ramadhan pada tahun ini, DBKK dengan kerjasama Bank Negara memperkenalkan ‘Bayaran Tanpa Tunai’ di hampir semua lokasi Bazar Ramadan di Bandar Raya Kota Kinabalu,” katanya semasa ditemui media.
Pada tahun ini, sebanyak 16 lokasi bazar ramadhan dibuka pihaknya iaitu Indah Permai, Sembulan, Tanjung Aru, Pasar Malam Inanam, Pasar malam Inanam Point, Pasar Malam Manggatal, Pasar Malam Kingfisher, kawasan boardwalk di belakang Marriott Hotel (tapak baharu), University Apartment, Wisma Merdeka, Asia City, Taman Putera Jaya, Metro Town, Wawasan Plaza dan Bataras Kolombong.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (Cawangan Sabah), Datuk Asnan Yunus Chung, Pengurus Jualan dan Operasi Am Sabah – Brunei (Nestle Products Sdn Bhd), Quek Teng Hiong dan Ketua Jabatan Pemasaran Sazarice, Rayner Kilik. – Warta Oriental