KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah David Chan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) negeri Sabah.
Pelantikan beliau diumumkan oleh YPNM dan berkuat kuasa mulai 10 Jun 2024.
Susulan pelantikan itu, David menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) atas kepercayaan penuh yang diberikan kepadanya untuk menerajui YPNM di Sabah.
“YPNM didaftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Visi kami adalah untuk melindungi kepentingan hak-hak pengguna Sabah dan bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, persekutuan dan dan sektor swasta di Sabah.
“Kerjasama antara Sabah dan persekutuan adalah untuk menangani isu-isu kepenggunaan dalam memberi manfaat yang besar kepada pengguna-pengguna di negeri ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
David berkata selaku Pengerusi YPNM Sabah yang baharu, beliau menyokong penuh penstrukturan semula subsidi minyak diesel dan pada masa yang sama YPNM Sabah juga turut mengucapkan kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana meneruskan pemberian subsidi diesel untuk wilayah Sabah dan Sarawak
Dalam pada itu, David meminta pihak berkuasa sentiasa memantau sebarang ketirisan minyak diesel bersubsidi yang diberikan kepada semua pengguna di Sabah supaya semua pengguna di wilayah ini boleh menikmati pemberian subsidi daripada keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber: Jesselton Times