Datuk Idris Abdullah Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu

idris-abdullah-pesuruhjaya-sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Idris Abdullah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu berkuatkuasa semalam.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Hazani Ghazali yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Penyerahan serah terima tugas itu berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu dengan disaksikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl Sani berkata, pelantikan Idris sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu dilihat bertepatan memandangkan beliau seorang pegawai yang berpengalaman daripada aspek siasatan jenayah.

“Saya juga merasa sangat yakin bahawa beliau dapat menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang akan disokong padu oleh semua pegawai dan anggota warga Sabah termasuklah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam usaha kita untuk memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman di Sabah dapat kita kekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas di Auditorium IPK Sabah.

Selain itu, Acryl menjelaskan, Jabatan KDNKA merupakan entiti penting dalam pasukan Polis Diraja Malaysia dan berpandangan bahawa Hazani merupakan calon yang sesuai menjawat jawatan itu.

“Ini menjadikan tugas-tugas di KDNKA dapat ditingkatkan dan lebih cemerlang. Seperti mana kita sedia maklum bahawa dengan suasana negara kita bukan sahaja dilanda dengan pandemik COVID-19, tetapi kita juga berhadapan dengan ancaman dan cabaran di kawasan persempadanan termasuk kemasukan elemen warga asing yang mungkin akan menjejaskan lagi usaha kerajaan dalam mengawal merebaknya wabak COVID-19.

“Selain itu juga kita yakin dan percaya bahawa beliau (Hazani) akan dapat berikan fokus kepada ancaman yang berbentuk subversif, ancaman berbentuk jenayah rentas sempadan yang kita sendiri sedia maklum bahawa negara kita ini mempunyai sempadan yang sangat terbuka,” katanya. – ASTRO AWANI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top