Datuk, anak lelaki didakwa tipu kerajaan Sabah royalti emas RM1.3 juta

tipu-royalti-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, semalam, atas 24 pertuduhan masing-masing mengemukakan dokumen palsu berkaitan penjualan jongkong emas hasil perlombongan di Bukit Mantri, Tawau antara 2019 hingga Mac tahun ini.

Kedua-dua tertuduh, Datuk Lo Fui Ming, 67, dan anaknya, Lo Teck Yong, 42 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Jason Juga.

Semua pertuduhan itu adalah berkaitan kesalahan menipu Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada jabatan berkenaan.

Perbuatan Lo yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd, dan Teck Yong, yang juga bekas pengarah syarikat sama didakwa menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta kepada kerajaan Sabah.

Lo didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, manakala Teck Yong, berdepan jumlah pertuduhan yang sama, masing-masing mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Jason kemudian menetapkan wang jaminan masing-masing RM100,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan RM50,000 sebagai deposit dan seorang penjamin, manakala pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, syarikat yang dikendalikan oleh kedua-dua tertuduh sebelum ini menjalankan perniagaan perlombongan mineral emas di Bukit Mantri, Tawau.

Berdasarkan syarat perjanjian pajakan tanah dan perlombongan mineral dengan JTU, syarikat berkenaan disyaratkan untuk membayar royalti sebanyak lima peratus daripada hasil penjualan emas yang dilombong di lokasi terbabit kepada JTU.

Dalam tempoh 2019 hingga 2023, kedua-dua tertuduh dikatakan menjual sebanyak 26 jongkong emas secara haram kepada syarikat pembeli dengan tidak mengisytiharkannya dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada JTU bagi pengiraan bayaran royalti sebanyak lima peratus.

Penipuan yang dilakukan kedua-dua tertuduh didakwa mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri Sabah dari segi penerimaan bayaran royalti sebanyak lima peratus yang dianggarkan berjumlah RM1.3 juta.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zahir Shah. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top