Data DNA Bantu Polis Berkas Suspek Kes Rogol di Bagan Serai 19 Tahun Lalu

polis.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Polis menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menahan seorang lelaki suspek kes rogol yang berlaku 19 tahun lalu di Bagan Serai, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berusia 40 tahun ditahan pada 9.30 malam Khamis lalu, berbekalkan maklumat diperoleh daripada data profil ujian DNA.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada 2003. Suspek direman di IPD Kerian, Perak, empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih berjalan dan kertas siasatan akan segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan bagi tujuan pertuduhan,” katanya menurut laporan Harian Metro semalam.

Jalil berkata, polis akan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan dalam mengesan dan menahan penjenayah meskipun menghadapi kekurangan maklumat pada awal siasatan termasuk menggunakan kaedah saintifik melalui data profil DNA.

Katanya, kaedah itu bagi mengenal pasti identiti suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, polis turut menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan kejadian menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras jenayah untuk memberi keadilan kepada mangsa seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara kekal selamat.

Sebelum ini, siasatan saintifik menggunakan DNA berjaya mengenal pasti suspek terbabit dalam kes rogol remaja perempuan di Balik Pulau, Pulau Pinang, 12 tahun lalu. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top