Darurat Parlimen Batu Sapi: Masidi, Ongkili, Jeffrey Dan Shafie Senada

masidi-ongkili-jeffrey-shafie.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemimpin-pemimpin politik di negeri ini mengalu-alukan keputusan pengisytiharan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi, demikian lapor NST.

Timbalan pengerusi PPBM (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata pengisytiharan itu merupakan keputusan terbaik dengan mengambil kira keadaan yang dihadapi oleh negeri ini sekarang.

Beliau berkata pengajaran dapat diambil daripada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, yang menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah.

Katanya, dengan penangguhan PRK Parlimen Batu Sapi berikutan pengisytiharan darurat itu, semua pihak kini boleh memberikan tumpuan kepada memerangi Covid-19 dan menangguhkan dahulu aktiviti-aktiviti politik.

Turut menyokong pengisytiharan darurat itu ialah Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presidennya, Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili berkata berdasarkan perkembangan semasa pandemik Covid-19 di Sabah, perkara-perkara berkaitan politik seharusnya dikurangkan.

Katanya, pengisytiharan darurat itu adalah langkah terbaik untuk Sabah, khususnya Batu Sapi, bagi membendung Covid-19 terus merebak.

Beliau, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menegaskan bahawa keutamaan kini perlu diberi kepada menguruskan situasi Covid-19, kehidupan rakyat dan ekonomi negeri yang terjejas oleh pandemik itu.

Pendirian yang sama dikongsi oleh presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang menyuarakan kelegaannya kerana pengisytiharan darurat itu membolehkan PRK Batu Sapi ditangguhkan.

“Ia adalah keputusan yang tepat oleh Agong dengan nasihat perdana menteri. Kita telah belajar daripada apa yang terjadi selepas pilihan raya Sabah (PRN) yang lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam mengalu-alukan keputusan pengisytiharan darurat itu, bekas ketua menteri Sabah, yang juga presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa kesihatan rakyat tidak harus diletakkan dalam keadaan berisiko semata-mata kerana mahu melaksanakan kehendak demokrasi.

Beliau turut bersetuju bahawa keutamaan hendaklah diberi kepada memerangi Covid-19.

“Warisan berharap kerajaan akan menemui cara terbaik untuk menentukan satu tarikh bagi memaklumkan kepada rakyat bila tempoh darurat itu berakhir,” katanya.

Katanya, Batu Sapi perlukan seorang pemimpin untuk mewakili rakyat.

Rakyat, katanya, harus dibenarkan melaksanakan hak-hak mereka memilih seorang wakil sebaik sahaja Covid-19 dapat dikawal dan darurat ditarik balik.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top