Darurat: Menteri Tertakluk Sumpah Kerahsiaan – Nazri Aziz

nazri.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan menteri-menteri dari UMNO yang tidak mendedahkan tentang keputusan kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat yang dibuat pada 21 Julai lalu.

Nazri menjelaskan pihak yang mempertikaikan perkara tersebut seharusnyq faham bahawa menteri terikat dengan sumpah kerahsiaan.

“Orang yang bercakap perkara ini sepatutnya faham, menteri-menteri terikat dengan sumpah kerahsiaan, jadi bukan satu kesalahan tidak memberitahu parti,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Selain itu Nazri turut mempertahankan pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan berhubung pembatalan enam Ordinan Darurat itu.

Nazri menegaskan apa yang diumumkan oleh Takiyuddin itu setelah mendapat nasihat dari Pejabat Peguam Negara yang memahami Perlembagaan Negara.

Beliau menjelaskan perkara tersebut tidak perlu dibahaskan kerana kerajaan tidak mahu melanjutkan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos nanti.

“Sebagai bekas Menteri Undang-undang, apa yang diumum oleh Takiyuddin itu merupakan perkara yang dibuat dan dinasihatkan oleh Pejabat Peguam Negara yang lebih arif tentang Perlembagaan.

“Perkara ini tidak perlu dibahaskan di parlimen kerana kerajaan tidak lagi berhasrat untuk melanjutkan darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos nanti.

“Yang diumumkan ialah keputusan kabinet pada 21 Julai, namun penguatkuasaannya pada 1 Ogos nanti,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Isnin.

Sebelum itu, Takiyuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos depan.

Takiyuddin juga memaklumkan kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu. – Suara TV


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top