Darurat setempat telah diisytiharkan di Sarawak untuk membolehkan negeri itu menangguhkan pilihan raya di tengah-tengah wabak Covid-19.
Pengisytiharan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan semalam dan akan berkuat kuasa mulai 2 Ogos.
Tarikh tamat darurat juga disertakan dalam proklamasi darurat setempat yang akan berlangsung selama enam bulan hingga 2 Februari 2022.
Darurat yang dikhususkan untuk Sarawak itu berikutan berakhirnya darurat seluruh negara, yang pertama kali diisytiharkan pada 11 Januari, dan akan tamat esok 1 Ogos.Proklamasi yang ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pilihan raya Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh berakhirnya darurat negara.
Justeru, memerlukan darurat setempat diisytiharkan untuk menangguhkan pilihan raya negeri.
DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatalkan oleh kerajaan pada 21 Julai.