Darurat: Ahli Parlimen Pembangkang Utus Surat Kepada Agong Hari Ini, Warisan Tidak Ikut Serta

istana-negara.jpg

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar pengisytiharan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hal itu disahkan selepas Anwar menggesa ahli-ahli parlimen untuk mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar darurat dibatalkan.

“Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan perlembagaan serta rakyat dari salah guna kuasa.

“Dan juga, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin (Yassin),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Adalah difahamkan tindakan itu dibuat atas dasar Muhyiddin memberikan nasihat yang salah kepada Agong berhubung pengisytiharan darurat.

Malaysakini turut difahamkan bahawa hari ini, PH akan menghantar satu petisyen rayuan secara bersama kepada Agong.

Malaysiakini melaporkan bahawa Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub mengesahkan hal itu apabila dihubungi.

“Kami akan tandatangan petisyen itu dan akan dihantar secepat mungkin,” katanya kepada Malaysiakini, selain mengesahkan ia merupakan petisyen bersama oleh ahli-ahli parlimen PH.

Disoal bilakah petisyen itu akan dihantar, kata Salahuddin, mengikut rancangan asal ia akan dihantar pada Isnin (hari ini).

Ahli parlimen Pulai itu turut menegaskan petisyen berkenaan merupakan keputusan bersama yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada Selasa lalu.

Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Marzuki Yahya berkata, parti itu akan turut menghantar rayuan kepada Agong pada Isnin ini.

Bagaimanapun, Warisan nampaknya mengambil pendekatan berbeza.

Whip parti itu, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli memberitahu Malaysiakini bahawa ahli parlimen Warisan tidak akan menulis surat kepada Agong secara individu.

“Presiden kami (Shafie Apdal) sudah mengeluarkan kenyataan media dengan penjelasan panjang lebar mengenai pandangan parti (untuk membatalkan) pengisytiharan darurat.

“Secara asasnya, itulah maklum balas parti kami,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top