Darurat: Agenda Politik Atau Agenda Rakyat

darurat.jpg
Kongsi Bersama

Oleh Ab Jalil Backer

Proklamasi Darurat oleh Yang Di-Pertuan (YDP) Agong pada 13 Januari lalu sehingga 1 Ogos 2021 merupakan jalan paling baik dalam membantu negara menjalani pemulihan kesihatan dan ekonomi.

Realiti hari ini ialah negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan politik yang serius yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Dari segi kesihatan, situasi pandemik dalam negara agak kritikal dan boleh menjadi lebih buruk.

Ketika darurat diisytiharkan, Malaysia mencatatkan kes kes positif Covid-19 antara 2 ribu – 3 ribu orang sehari. Jumlah pesakit yang pulih setiap hari pula antara ‪750-1500‬ orang. Dalam masa yang sama kadar kebolehjangkitan juga meningkat kepada 1.2.

Dari segi politik pula terdapat usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia telah sampai ke kemuncak apabila segelintir ahli Parlimen UMNO memutuskan untuk menarik sokongan kepada kerajaan.

Penarikan sokongan UMNO atau sebahagian Ahli Parlimen UMNO ini sekaligus menuntut pemilihan Perdana Menteri baharu atau Pilihan Raya Umum (PRU) yang baharu.

Kedua-dua krisis ini menjadikan negara berada dalam keadaan tidak stabil. Kerajaan yang tidak stabil tidak mungkin dapat menjalankan tugas dengan berkesan untuk menangani pandemik yang melanda seluruh dunia apatah lagi memulihkan ekonomi.

Serampang Dua Mata

Keputusan YDP Agong memperkenankan pengisytiharan Darurat seperti mana dalam Perkara 150 Perlembagaan Malaysia merupakan strategi serampang dua mata bagi memulihkan negara ini.

Dari sudut krisis kesihatan, pengisytiharan Darurat ini membolehkan usaha mencegah penularan dan perawatan pesakit Covid-19 dilakukan secara lebih drastik dan tegas melalui ordinan-ordinan yang bakal diumumkan.

Ordinan-ordinan yang bakal diperkenalkan akan mempunyai kuasa lebih besar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP di bawah kuasa Menteri Kesihatan mempunyai sumber kuasa terhad dan berhadapan pelbagai halangan perundangan terutama dari segi menyegerakan tindakan penguatkuasaan dan bantuan kesihatan.

Berdasarkan situasi semasa, Malaysia dijangka akan mempunyai sekitar lima ribu orang pesakit Covid-19 setiap hari mulai Februari nanti. Jika ini berlaku fasiliti kesihatan awam tidak lagi mampu menampung pesakit Covid-19.

Salah satu sebab terpenting dalam perintah darurat ia membolehkan kerajaan mengambilalih fasiliti kesihatan swasta sebagai pelan sokongan bagi merawat pesakit Covid-19.

Jika sebelum ini kerajaan tidak boleh mengambil alih fasiliti hopsital swasta tanpa persetujuan, melaui ordinan darurat kerajaan boleh mengambil alih dengan pampasan tertentu sepanjang ia diperlukan.

Darurat juga akan membolehkan proses penguatkusaan perintah kawalan pergerakan dapat diperketatkan.

Anggota polis sahaja tidak cukup untuk mengawal dan menguatkuasa larangan pergerakan. Sebahagian mereka masih perlu menjalankan tugas siasatan kes-kes jenayah lain.

Salah satu pilihan ialah meminta bantuan anggota tentera membantu polis mengawal dan menguatkuasa undang-undang terutama dalam kawalan pergerakan.

Tanpa proklamasi Darurat, anggota tentera tidak boleh boleh melakukan tangkapan ke atas orang awam dan mendakwa mereka di mahkamah awam. Darurat membenarkan anggota tentera menyertai pasukan keselamatan dalam negeri.

Tidak dinafikan selain agenda kesihatan, Proklamasi Darurat ini juga mempunyai agenda politik.

Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi membolehkan fokus tertumpu kepada pengawalan penularan pandemik, bukannya berebut takhta kuasa.

Sebelum darurat disiytiharkan, Perdana Menteri berhadapan kehilangan sokongan majoriti ahl Parlimen. Sekiranya ini berlaku. satu Pilihan Raya Umum (PRU) baharu perlu dibuat.

Pada mereka yang rasional mengadakan PRU ketika penularan Covid-19 sedang memuncak bukanlah satu pilihan, apatah lagi penggal parlimen ini belum pun mencecah tiga tahun.

Pilihan lain ialah melantik Perdana Menteri baharu. Namun ini juga mengambil masa kerana politik Malaysia telah begitu berpecah-belah sehingga tiada pihak mampu mempunyai majoriti yang agak signifikan.

Justeru pilihan YDP Agong mengadakan darurat sangat tepat. Melalui cara ini Baginda dapat memastikan usaha mengawal penularan Covid-19 dapat diperkasakan dan sistem politik negara dapat distabilkan buat sementara waktu.

Seperti mana janji Perdana Menteri untuk mengadakan PRU selepas tamat darurat, semua pihak perlulah bersabar dan memberi tumpuan kepada usaha melawan pandemik Covid-19 dan ‘mengisi perut’ rakyat terlebih dahulu.

Sabarlah wahai ahli politik semua!

Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (AKAR)

Sumber: SuaraTV

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top