KOTA KINABALU: Bekas Adun Kemabong Jamawi Jaafar menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kerana sekali lagi meletakkannya sebagai calon parti itu, walaupun kali ini di DUN yang berbeza iaitu di N42 Melalap .
“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN Pusat, Timbalan Presiden UMNO Dato Seri Utama Mohamad Hasan dan Dato’ Sri Bung Moktar Radin , selaku Pengerusi BN Sabah atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk sekali lagi bertanding sebagai calon BN pada PRN kali ini meskipun berpindah ke kawasan lain,” katanya.
Menurut Jamawi pencalonan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik mungkin.
“Saya berikrar tidak akan mempersia-siakan kepercayaan ini dan akan berkhidmat sebaik mungkin, jika terpilih sekali lagi untuk menjadi ADUN pada pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui di sini selepas majlis pengumuman calon BN dan PPBM.
Sebelum ini Jamawi,48, merupakan ADUN Kemabong setelah memenangi kerusi tersebut pada PRU Ke 14 dengan memperolehi undi 6,093 mengenapikan pencabarnya Haris Bolos dari parti Warisan ,Tay Jin Kiong Parti Cinta Sabah dan Yahina@Yahya Raimah dari parti Harapan Rakyat Sabah.
Ketika diajukan soalan tentang peluang dan cabaran untuk bertanding di kerusi Melalap pada PRN kali ini ,Jamawi berkata memang ada cabarannya bagaimanapun DUN Melalap tidak asing baginya kerana beliau dilahir dan dibesarkan di Kampung Jawa Sumbiling yang juga terletak di kawasan DUN berkenaan.
“Semasa menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Tenom saya kerap kali turun padang membawa pelbagai program Pemuda ketika itu dan ramai juga saudara mara dan kenalan di kawasan ini,”katanya.
Tambahnya cabaran lain ialah berhadapan dengan calon-calon lain terutamanya Naib Presiden Warisan yang juga penyandang kerusi kawasan tersebut Datuk Peter Anthony.
“Dalam tempoh yang singkat ini kita terpaksa menyusun jentera dan pusat -pusat daerah mengundi dan berkempen rumah ke rumah mengikut SOP yang telah ditetapkan. Bagaimana pun saya yakin ianya dapat diselesaikan,”katanya
Ditanya apakah fokus dan komitmen beliau di.kawasan DUN Melalap ,Jamawi berkata beliau akan meneruskan kesinambungan pembangunan fizikal, khususnya infra rakyat dan infra sosial , mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta merancakkan lagi pembangunan modal insan.
“Begitu juga pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran untuk golongan belia membangunkan sektor pertanian dan pelancongan di samping pembangunan sahsiah,” katanya.
Bagaimana pun menurut Jamawi semua ini dapat dilakukan dengan adanya sokongan padu dari rakyat untuk memilih kerajaan yang mempunyai hubungan dan kerjasama dengan kerajaan pusat memandangkan faktor geografi Sabah yang luas yang memerlukan peruntukan yang besar untuk membangunkan Sabah khususnya di kawasan luar bandar .
Tambah beliau apa yang dilakukan semasa menjadi Adun Kemabong lebih dari dua tahun akan menjadi acuan untuk beliau melaksanakan tugas dan tanggung jawab sebaik dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Melalap dengan sedikit penambahbaikan dan kesesuaian keperluan setempat.
Jamawi juga turut mengambil peluang menzahirkan terima kasih kepada penduduk Kemabong atas sokongan padu yang diberikan kepada beliau selama menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut dan berharap sokongan berterusan akan diberikan kepada calon BN di kawasan itu pada PRN nanti.
Katanya, sokongan itu akan membolehkan usaha digiatkan bagi meneruskan dan merancakkan agenda pembangunan di kawasan Kemabong.
” Saya amat sedih meninggalkan DUN Kemabong, saya kagum dan berterima kasih atas sokongan rakyat selama saya menjadi Adun di kawasan tersebut dan berharap sokongan yang sama dapat diberikan kepada Datuk Raimee Unggi calon BN yang bertanding di kawasan ini .
“Sesungguhnya semangat perpaduan yang kukuh dan prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan diri menjadi nadi kekuatan untuk memenangi PRN kali ini,” katanya .