1.Tidak dinafikan parti Umno konsisten dengan perjuangannya. Namun dalam usaha mengembalikan kuasa dan kegemilangannya, Umno perlu bersifat dinamik. Bukan terkongkong dengan retorik dan slogan lama yang tidak lagi sesuai dengan cita rasa pengundi hari ini.
2. Umno tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan ahli semata-mata. Bercakap soal kesetiaan kepada parti dan kepimpinan sedangkan sokongan rakyat biasa, masyarakat sivil boleh mempengaruhi kecenderungan sokongan terhadap parti-parti politik seperti terbukti dalam PRU lalu. Umno seharusnya ambil iktibar dari PRU lalu. Jangan dilanda pandemik denial syndrome. Kekalahan BN-Umno bukan semata-mata kerana fitnah. Banyak lagi sebab dan punca lain kenapa rakyat menolak Umno.
3. UMNO tidak boleh lagi berpolitik dalam ruang lingkup lama, ketika parti itu merupakan kuasa politik yang dominan selama 60 tahun. Umno hari ini hanya sebahagian daripada parti dominan selain parti-parti lain seperi PPBM, PKR, PAS dan DAP. Slogan parti Umno ‘berubah atau rebah’ merupakan slogan yang sangat baik. Cuma slogan itu hanya meniti dibibir para pemimpin dan para pemidato. Hakikatnya Umno dan pimpinannya masih tidak bersedia untuk berubah. Siapa menegur dan mengkritik pucuk pimpinan tidak kira statusnya akan menerima padah. Umno masih bernostalgia bahawa parti itu masih berkuasa dan akan kembali berkuasa dalam situasi apa sekalipun.
4. Saya ambil contoh kerjasama kerajaan negeri Sabah. Muafakat Umno-PPBM dalam GRS mula dipandang serong. Walhal Umno Sabah telahpun diberi kuasa otonomi oleh pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menentukan halatuju parti itu di Sabah. Kini tersebar kabar angin mengatakan kuasa memilih calon parlimen dari Umno diputuskan Presiden parti bukan Ketua Umno Sabah.
5. Gerakan untuk mempengaruhi ketua-ketua bahagian Sabah supaya bertanding semua kawasan parlimen sudah bermula sejak sebulan lalu. Tindakan itu sudah tentu membawa kepada perpecahan dalam GRS. Beberapa Ketua Bahagian Umno dikatakan telah dihubungi dan dijanjikan calon PRU akan datang atas persetujuan Presiden Umno sekalipun kerusi parlimen kawasannya telah dipersetujui untuk komponen parti dalam GRS.
6. Di Perlis, kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu untuk berkerjasama dengan PPBM telah mengundang kritikan dan cemuhan. Terbaru ada maklumat mengatakan Tan Sri Shahidan bakal digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. Apakah Umno masih belum bersedia untuk berubah…?