1.Tan Sri Chong Kah Kiat (Ketua Menteri Sabah 2001-2003) telah mengambil inisiatif membina jalan Kota Belud – Kudat Bypass setelah beberapa kali dia tersangkut dalam kesesakan di pekan Kota Belud dalam perjalanan balik ke Kudat. Jalan raya itu merupakan jalan alternatif kepada pengguna jalan raya dari Kota Kinabalu ke arah utara negeri Sabah – Kudat, Kota Marudu, Pitas dan kampung-kampung serta penempatan sekitarnya tanpa melalui pekan Kota Belud yang agak sempit.
2. Sudah tentu prasarana yang dibina kerajaan tersebut membuka peluang kepada pengusaha tempatan membina bangunan perniagaan sepanjang jalan bypass tersebut. Ia dipelopori Tentera Gulang, seorang pengusaha tempatan yang gigih. Dia membina Wisma Arked Print di Kampung Sembirai, asalnya sebuah kawasan kampung yang sunyi dan kurang aktiviti ekonomi. Dua buah mini market dan beberapa ruang niaga untuk restoran juga turut dibina.
3. Kira-kira 300 meter dari Wisma Arked di Kampung Wakap seorang lagi pengusaha tempatan Pak Aziz Hj Bilin membina Restoran R&R Kota Belud Bypass. Kemudian diikuti DKB Hardware yang dibina berhadapan Wisma Arked Print. Disepanjang bypass itu juga beberapa gerai makanan dan buah-buahan dan sayur-sayuran turut dibina penduduk tempatan.
4. Jalan raya bypass telah berperanan besar menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi penduduk tempatan. Saya menganggarkan di kawasan Kampung Sembirai sahaja tidak kurang RM70,000 hingga RM100,000 jumlah transaksi sehari. Bayangkan betapa besar impak kesan pengganda yang dicipta daripada aktiviti ekonomi itu. Anggaran seperti itulah yang mendorong beberapa pemilik pasaraya franchise seperti Speedmart 99 dan lain-lain membuka cawangan sepanjang bypass. Saya ramal dalam tempoh kurang 10 tahun kawasan itu akan menjadi bandar baharu Kota Belud.
5. Apa peranan kerajaan dan agensi tempatan? JKR yang berperanan mengendalikan maintenance jalan raya sepatutnya memantau pembinaan struktur bangunan supaya tidak terlalu dekat dengan jalan raya. PBT berperanan menyediakan pelan untuk penjaja meletakkan tapak perniagaan dan menyediakan kemudahan lain seperti tong sampah dan sebagainya.
6. Tindakan menutup perniagaan dan menghalang aktiviti ekonomi rakyat bukanlah cara yang baik membantu rakyat. Kawasan itu tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas jika agensi kerajaan memantau aktiviti dari awal. Harus diingat pembangunan bermula bila satu kawasan menjadi tumpuan aktiviti ekonomi…