DARI DUN SABAH: Sabah Akan Terus Tuntut Semua Hak-hak Yang Termaktub Dalam MA63 – Hajiji

hajiji-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak pernah menggugurkan satupun malah akan terus menuntut dan berusaha untuk mendapatkan semua hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk hak untuk mendapat 40 peratus daripada pungutan hasil cukai oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, walau apa pun yang dikatakan di peringkat Persekutuan, ini menjadi asas kepada tuntutan Sabah dalam MA63.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menuntut, berusaha untuk mendapatkan 40 peratus kutipan cukai daripada Sabah. Itu pendirian kita,” katanya semasa menggulung untuk Kementerian Kewangan dan Jabatan Ketua Menteri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) yang bertanya pendirian Kerajaan Negeri terhadap hak 40 peratus daripada pungutan hasil cukai oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Ini berikutan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilaporkan berkata formula perkongsian hasil 40 peratus dengan Sabah tidak boleh lagi digunapakai kerana ianya dianggap di luar kapasiti kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Itu pandangan ataupun pendapat mereka. Tetapi pendirian Kerajaan Negeri ialah kita akan terus menuntut 40 peratus ini.

“Mana-mana yang tersenarai sebagai tuntutan utama kita, kita tidak pernah gugurkan. Kita akan terus tuntut sehingga kita dapat perolehan daripada apa yang telah dijanjikan dalam MA63,” kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan.

Isu-isu tuntutan ke atas hak-hak negeri seperti terkandung dalam MA63 dan perlembagaan turut dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat dari Tempasuk, Tungku, Senallang, Kadamaian, Petagas, Darau, Kapayan, Luyang dan Api-Api.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.

“Tuntutan berkaitan dengan MA63 akan terus dibuat berteraskan semangat Keluarga Malaysia,” kata Hajiji.

Berkenaan cadangan daripada Mohd. Shafie agar pesuruhjaya kehakiman dilantik di bawah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Peguam Besar Negeri sedang dalam perbincangan dengan Badan Kehakiman untuk mencapai hasrat tersebut.

Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri pada masa ini belum bercadang untuk menukar gelaran Ketua Menteri Sabah kepada Premier, seperti yang dicadangkan oleh Datuk Christina Liew (Api-Api).

Mengenai isu berkaitan Akta Laut Wilayah 2012, North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang dibangkitkan oleh Azhar Matussin (Darau) dan Norazlinah Arif (Kunak), Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa hak dan kepentingan negeri adalah seperti termaktub di bawah North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 yang meliputi pelantar benua atau continental shelf.

“Oleh itu, hak dan kepentingan negeri ini telahpun dimaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui mesyuarat Majlis Khas MA63,”katanya.

Menjawab pertanyaan dari Datuk Mohammadin Ketapi (Tungku) and Jannie Lasimbang (Kapayan) tentang status negeri Sabah, Hajiji berkata, Sabah dan Sarawak adalah merupakan Borneo States seperti yang termaktub dalam pindaan Perlembagaan Perkara 1(2) iaitu negeri-negeri Borneo adalah Sabah dan Sarawak.

“Dan ini adalah selaras dengan Intergovernmental Committee (IGC) Report,” ujarnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top