KOTA KINABALU: Peningkatan kos input kepada penternak ayam terutamanya kos makanan yang meliputi 70% kos pengeluaran, selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan merupakan faktor penyebab kenaikan harga ayam dan telur ayam di Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata kementeriannya menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum tentang perkara itu.
Sehubungan itu, katanya, pelbagai pendekatan telah dan sedang diambil, antaranya menggunakan surat pemberitahuan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sebagai ‘soft-approach’ dalam tindakan pemantauan maklumat di bawah AKHAP 2011.
Menurut Shahelmey, peniaga ayam dan telur di peringkat borong dan runcit telah bersetuju mengurangkan margin keuntungan sejak 11 September tahun lalu.
“Sebanyak 82 premis telah memberikan komitmen penurunan margin keuntungan dan ini sangat membantu pengguna dalam mendapat harga runcit yang munasabah.
“KPDNHEP telah membuat penetapan harga dan pengurangan harga dengan mewartakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2022 yang berkuatkuasa pada 7 Disember 2021 sehingga 31 Disember 2021 dan telah dilanjutkan bermula 1 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis mengenai mekanisme yang akan diambil untuk menangani kenaikan mendadak harga ayam dan telur, ketika ini.
Shahelmey berkata barangan yang terlibat adalah ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.
Bagi terus mengawal harga ayam dan telur ayam, KPDNHEP telah menetapkan Penentuan Harga Maksimun Ayam dan Telur Ayam sejak 5 Februari lalu dan akan berlanjutan sehingga 5 Jun depan.
Katanya, Jemaah Menteri Persekutuan pada 9 Februari lalu telah bersetuju untuk memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60/kg bagi ayam dan RM0.05/biji untuk semua jenis gred telur ayam.
KPDNHEP juga mengadakan program libat urus untuk memberi penjelasan, khidmat nasihat dan kerjasama bersama peniaga dalam memahami dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan serta melaksanakan langkah kolaborasi bersama agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah untuk memastikan bekalan adalah mencukupi dan ditawarkan pada harga yang munasabah.
Pendekatan penguatkuasaan ini dengan menggunakan mekanisme Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018, meliputi penguatkuasaan terhadap pencatutan atau pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan.
“Pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif meliputi seluruh rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh negara di bawah Operasi Catut 9.0, Operasi Pasar 2.0 dan Operasi Rantai 8.0.
“Pengeluaran Notis bertulis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara untuk mendapatkan maklum balas dan penjelasan secara bertulis mengenai kenaikan harga bagi menentukan berlakunya elemen pencatutan,” katanya.
Shahelmey berkata tindakan berterusan yang sedang dijalankan oleh KPDNHEP Sabah, antaranya meliputi pendekatan penguatkuasaan berhemah dan Ops Pasar 2.0.
Menurutnya, sebarang aduan melibatkan kenaikan harga yang tinggi akan disiasat melalui tindakan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Menjawab soalan tambahan Justin Wong samada kerajaan negeri bersedia untuk menambah ataupun meningkatkan ternakan ayam, pedaging dan pengeluar telur di Sabah, Shahelmey berkata perkara itu terletak dibawah bidangkuasa Kementerian Pertanian dan Perikanan.
Bagaimanapun katanya, kementeriannya melalui KPDNHEP Sabah, sentiasa memantau berkenaan dengan kawalan harga serta bekalan ayam dan telur ayam di Sabah.
“Memang kita mengambil maklum buat masa ini bekalan telur ayam adalah sedikit kurang, lebih kurang dalam 10% tetapi jabatan-jabatan yang berkaitan sedang dalam usaha untuk memastikan bahawa bekalan utama menjelang musim perayaan akan berada pada tahap yang mencukupi.”