KOTA KINABALU: Keadaan jalan raya yang teruk di Sabah, khususnya di pantai timur, tidak akan menjadi isu lagi sebaik saja Lebuh Raya Pan-Borneo siap, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin
Timbalan Ketua Menteri itu berkata rakyat Sabah perlu bersabar selama 30 bulan lagi kerana jalan sedia ada tidak lagi digunakan sebaik lebuh raya itu siap.
“Saya harap pengguna jalan raya bersabar dengan keadaan jalan raya semasa,” kata Bung, yang juga Menteri Kerja Raya negeri.
Beliau bersetuju banyak jalan raya di negeri ini sudah lama rosak dan perlu dinaik taraf.
“Tetapi ia memerlukan kos yang tinggi untuk menaik taraf jalan ini yang tidak akan digunakan sebaik Lebuh Raya Pan-Borneo siap,” katanya.
“Dalam tempoh dua setengah tahun, kita akan menikmati jalan raya yang benar-benar selesa,” katanya pada masa soalan di DUN Sabah di sini semalam.
“Jangka hayat jalan Batu 32 Telupid tamat pada 2018 dan ia jelas rosak.
“Keutamaan telah diberikan untuk pakej 28, 29 dan 30 Lebuhraya Pan-Borneo yang akan menyaksikan jalan baharu (melalui kawasan itu),” katanya sambil menambah menaik taraf jalan lama itu akan menelan belanja jutaan ringgit.
Beliau menambah bahawa adalah tidak bijak untuk memperuntukkan RM200 juta atau RM300 juta untuk membaiki jalan yang akan dirobohkan apabila lebuh raya itu siap.
Bagaimanapun, Bung berkata usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan kerosakan di jalan raya semasa.
Sumber: The Star