DARI DUN SABAH: Jangan Ulangi Kesilapan Lampau Dalam Lantikan Ketua Kampung

Norazlinah-Kunak.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diingatkan untuk tidak mengulangi kesilapan lampau dalam pelantikan ketua-ketua kampung yang bukan berasal dari kampung yang sama.

Norazlinah Arif (Warisan-Kunak) berkata, semasa pemerintahan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ada dalam kalangan ketua kampung yang dilantik daripada kalangan penduduk kampung lain.

Situasi sebegini tidak boleh dibiarkan berulang supaya tidak menyusahkan penduduk kampung.

“Saya merayu bagi kampung yang belum ada lantikan ketua kampung, lantikan itu harus disegerakan bagi memudahkan urusan orang kampung untuk mendapatkan pengesahan bagi persekolahan anak-anak, perkahwinan mahupun permohonan tertentu yang memerlukan pengesahan ketua kampung.

“Jika lantikan sebegitu diulangi, ia sama seperti kita melantik seorang Ketua Menteri Sabah yang berasal dari Malaya, cukuplah sekadar kita dikawal atau di “remote control” oleh Malaya,” katanya dalam ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Pada masa ini, beberapa buah kampung di Kunak belum ada ketua kampung seperti Kampung Simpang 4, Kampung Cenderawasih, Kampung Skim Kokos, Kampung Airport Batu 10 tanpa diketahui sebab-sebab yang jelas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Kunak juga mahu daerah itu dilibatkan dalam usaha promosi pelancongan bagi membolehkan pulau-pulau di Kunak menjadi pilihan baharu atau alternatif kepada pelancong yang sering berkunjung ke Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di Semporna.

Norazlinah berkata, daerah itu memiliki beberapa buah pulau yang sangat indah dan berpotensi seperti Pulau Boheyan, Pulau Maganting, Pulau Tanah namun sebahagian besarnya tidak dapat dikomersilkan sebagai destinasi pelancongan kerana terikat dengan peraturan hutan simpan.

Dalam pada itu, beliau juga memuji usaha kerajaan memperkasakan wanita di Sabah namun, agak mengecewakan kerana tiada wakil wanita dilantik sebagai menteri dalam barisan Kabinet Negeri sedia ada.

Beliau berharap seorang wanita dapat diangkat untuk menduduki kerusi menteri penuh dalam Kabinet Negeri.

Tambahnya, pemberian khas kepada Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga perlu disemak semula.

Beliau juga menggesa Sabah menolak Akta 750 agar tidak kehilangan peluang memperoleh hasil yang lebih signifikan. Akta Laut Wilayah, Akta Pelantar Benua dan Akta Perlombongan Petroleum merupakan akta yang menafikan hak Sabah secara jelas.

“Jika Ketua Menteri usulkan menolak Akta 750, kami di pihak pembangkang akan menyokong usul tersebut kerana ia untuk kebaikan Sabah dan rakyat negeri ini,” ujarnya. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top