KOTA KINABALU: Kadar Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi jualan besi buruk iaitu RM200 per tan metrik akan dikekalkan sehingga kajian menyemak semula kadar itu selesai.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, kadar semasa dalam CJN berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.
Susulan pewartaan CJN pada 27 Januari lalu, pengharaman eksport besi buruk yang bersifat sementara telah pun dibatalkan.
Beliau berkata, pelaksanaan CJN ini membolehkan semua besi buruk yang dibawa ke luar daripada Sabah akan dikenakan cukai bagi mengimbangi harga pasaran di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Katanya, dengan mengenakan CJN, kerajaan negeri dijangka akan memperoleh pendapatan kira-kira RM20 juta setahun.
Menurutnya, kerajaan mengambil maklum dan prihatin dengan keluhan daripada pengusaha-pengusaha besi buruk bahawa kadar semasa CJN menjejaskan pendapatan mereka. Itu sebabnya semakan semula kadar cukai itu akan dilakukan oleh pihak kementerian.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya bagi mengulas pertanyaan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) kelmarin.
Menurutnya, mengikut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor industri kecil dan kesederhana (IKS) terjejas teruk semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana hampir 65.5 peratus syarikat menghadapi cabaran ketiadaan pelanggan dan 45 peratus syarikat akan mengambil tempoh lebih enam bulan untuk kembali pulih.
Dengan itu, kementeriannya telah menyusun 17 program yang akan dilaksanakan di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah.
Jelasnya, kempen itu akan dapat membantu usahawan IKS meningkatkan semula hasil jualan dan membantu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Sekiranya rakyat Sabah menyokong kempen ini, sudah tentu ia akan merancakkan ekonomi domestik dan sekaligus mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Sabah.