DARI DUN SABAH: ADUN Lumadan Gesa Kerajaan Selesaikan Masalah Elaun Tertangguh JPKK

ruslan-muharram.jpg

Datuk Ruslan Muharam (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan diminta untuk memberikan perhatian serius dan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah pembayaran elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang sering tertangguh sehingga ada yang menjangkau lima atau enam bulan.

Ketika membangkitkan perkara itu ADUN Lumadan, Haji Ruslan Muharam berkata, beliau sering menerima aduan daripada pengerusi JPKK 81 buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Pengerusi-pengerusi JPKK ini mengadu bahawa elaun mereka sering tertangguh, ada yang sehingga lima hingga enam bulan, sedangkan mereka merupakan tulang belakang di mana-mana kawasan DUN.

“Mereka menjalankan tugas dengan penuh integriti namun, seolah-olah kebajikan mereka tidak terbela. Saya melihat kegigihan dan kesungguhan JPKK di DUN Lumadan. Saya merayu dan memohon agar pihak Kerajaan mengambil serius perkara ini,” katanya semasa membahas untuk menyokong usul terima kasih kepada Yang Di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin atas ucapan dasar kerajaan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu Ruslan juga mencadangkan agar Kerajaan mewujudkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Komuniti untuk membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Beaufort.

“Beaufort dikenali sebagai kawasan yang sering terjejas teruk akibat banjir terutama sekali kawasan DUN Lumadan. Apabila hujan turun selama beberapa hari, pasti air banjir melimpahi dan ramai penduduk terjejas akibat terputus hubungan dan kediaman ditenggelami air.

“Saya mendapati, terdapat beberapa kekangan di sini iaitu, jarak kampung yang terjejas banjir dan terputus hubungan adalah jauh dari kawasan PPS yang sedia ada.

”Ditambah pula, kekurangan anggota kerja dan jentera untuk membantu memindahkan penduduk terjejas banjir menyebabkan proses penyelamatan dan pemindahan mangsa banjir ke kawasan penempatan sementara mengambil masa yang lama.

“Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar PPS Komuniti di dewan-dewan sedia ada diwujudkan di DUN Lumadan bagi beberapa buah kampung yang sering terputus hubungan seperti di Kampung Lumadan, Kampung Suasa, Kampung Bukau dan Kampung Bangkalalak,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top