Artikel ini dipetik sepenuhnya daripada blog Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak ‘Terus Melangkah’. Blog itu boleh dilayari di sallehsaid.com
1.Hampir genap setahun lepas saya mencatat di sini betapa sebagai manusia yang hidup dalam pelbagai kelompok, kita menghadapi cabaran terbesar dalam menguruskan perbezaan idea, pemikiran dan perasaan.
2. Waktu itu saya selitkan contoh cadangan pemakaian batik oleh YB Nurul Izzah yang telah mendapat sokongan merentasi jurang politik di Parlimen.
3. Itu berlaku ketika kesihatan, keselamatan dan kehidupan kita tidak diancam oleh Covid-19. Kini, segala-galanya telah berubah dan nyawa rakyat menjadi pertaruhan. Inilah masanya untuk ahli-ahli politik benar-benar tunjukkan kesatuan dan kesepakatan.
4. Saya ulangi betapa ahli-ahli politik sangat tidak digemari oleh rakyat ketika ini. Rata-rata rakyat menyalahkan ahli-ahli politik, dan politik itu sendiri, dalam penularan gelombang baharu Covid-19 yang kita hampir mencecah 1,000 kes setiap hari.
5. Tindakan ahli-ahli politik yang bermain politik 24 jam ketika kita dalam krisis yang besar ini adalah sangat dikesali. Pemimpin-pemimpin negara kini menghadapi satu ujian yang besar, dan rakyat sedang berhadapan dengan masa hadapan yang kian pudar.
6. Tidak perlulah untuk politikkan setiap isu yang timbul. Tidak perlu lagi menuding jari, mencari salah siapa. Tidak perlu lagi berebut kuasa. Isu-isu penting seperti kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diletakkan di atas sekali. Begitu juga dengan keselamatan negara, dan hala tuju ekonomi kita.
7. Langkah ‘gencatan politik’ yang diumumkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini mencerminkan semangat ini. Gencatan ini bukanlah bermaksud mengalah atau kalah, tetapi meletakkan kepentingan diri di belakang kepentingan rakyat dan negara.
8. Ahli-ahli politik dan parti-parti perlu bekerja sebagai satu pasukan yang tidak mengambil kira aspek partisan. Ketepikan prejudis. Masing-masing ada pendapat, ada kepakaran. Bentuklah satu pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini dikira juga sebagai ‘normal baharu’.
9. Kita sering laungkan betapa perjuangan kita adalah demi negara dan rakyat, namun apabila kepentingan negara dan rakyat patut diambil kira, kita berbalah dan saling tuduh menuduh pula. Rakyat yang berada di bawah, hanya memerhatikan gelagat mereka yang di atas, dan rakyat tidak berhenti menggeleng kepala mereka.