PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Darell Leiking meminta penjelasan daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai peruntukan maksimum kepada mangsa terjejas banjir di Sabah.
Sebelum ini, kerajaan persekutuan mengumumkan mangsa banjir di Semenanjung boleh menerima pakej bantuan sehingga RM61,000.
Ahli Parlimen Penampang berkata, penjelasan itu perlu diberikan semasa persidangan khas Parlimen pada 20 Januari ini. Rakyat Sabah berhak menerima layanan yang sama seperti penduduk yang terjejas banjir di Semenanjung.
Beliau berkata, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dua pakej bantuan kepada mangsa banjir iaitu bantuan kewangan sehingga RM10,000 dan bantuan sehingga RM61,000 bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah secara sepenuhnya.
“Saya menghargai pengesahan daripada Ketua Menteri pada Khamis lepas bahawa mangsa banjir di Sabah akan menerima pakej bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan.
“Namun, apa yang menjadi tanda tanya Ahli Parlimen Warisan di Sabah adalah jumlah maksimum bantuan yang akan diberikan kerajaan persekutuan bagi setiap keluarga terjejas banjir.
“Saya melihat pakej bantuan fasa pertama RM10,000 perlu diberikan tanpa sebarang syarat kepada semua mangsa banjir di Sabah kerana mereka sudah berhadapan banjir yang kerap berulang sejak bertahun lamanya.
Kerajaan GRS perlu berjuang bagi memastikan mangsa banjir Sabah terutama masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang terjejas akibat banjir di Kota Marudu, Pitas dan Beluran yang tersenarai sebagai daerah termiskin di Malaysia.
Pemimpin KDM dalam GRS perlu memberi keutamaan bagi membantu penduduk kampung di daerah berkenaan dengan memastikan pakej bantuan kerajaan persekutuan itu turut diberikan di Sabah.
Sumber: Borneo Today