Darell Diberitahu PSS, Kad Pengenalan Khas Adalah Berbeza

kenny-chua.jpeg

Datuk Kenny Chua

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan Datuk Darell Leiking diberitahu supaya tidak keliru mengenai perbezaan antara Pas Sementara Sabah (PSS) dan cadangan ‘kad’ khas untuk pendatang di negeri ini.

Naib Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Sabah Star) Kenny Chua (gambar) menjelaskan antara objektif utama pelaksanaan ‘kad’ yang dicadangkan itu adalah untuk membangunkan pangkalan data mengenai pendatang di negeri ini yang merangkumi pelarian dan orang tanpa kerakyatan.

Beliau menegaskan, tidak seperti PSS yang boleh diperbaharui setiap tiga tahun, kad data yang dicadangkan itu tidak boleh diperbaharui dan tidak boleh dikelirukan dengan kad pengenalan.

“Setiap kali kita menggunakan perkataan ‘kad’, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah dokumen sah identiti peribadi seperti IC atau sijil kelahiran kita. Kad data yang dimaksudkan bukanlah seperti itu. Ia pada asasnya adalah langkah mengira pendatang di Sabah dan data ini adalah apa yang kerajaan negeri perlu ada,” ujarnya.

Menurut Kenny isu tersebut telah lama berterusan dan sukar diselesaikan. Punca utamanya kerana kerajaan tidak mempunyai data yang konkrit.

“Kita tidak tahu jumlah sebenar mereka di negeri ini kerana mereka bergerak dari semasa ke semasa.

“Sebagai rakyat Sabah, Darell sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan sekarang kerana menawarkan penyelesaian kepada masalah berpuluh tahun ini dan bukannya mempolitikkannya. Atau mungkin dia hanya keliru,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Darell dilaporkan berkata bahawa kedua-dua PSS dan kad pengenalan khas adalah serupa.

Tetapi Chua menegaskan bahawa kedua-duanya berbeza.

Beliau juga menegaskan data penduduk sama ada warganegara atau bukan warganegara di Sabah perlu sentiasa disimpan oleh pihak berkuasa persekutuan.

“Sudah tiba masanya kita mempunyai pangkalan data sendiri kerana mereka ini telah lama berada di tanah air kita dan kita perlu tahu dengan tepat siapa mereka dan di mana mereka berada. Ini termasuk semua mereka yang tiada kerakyatan dan kanak-kanak tanpa kerakyatan,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata baru-baru ini bahawa ia akan menjadi sistem data bersepadu yang akan dipantau oleh pihak berkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dan agensi penguatkuasaan lain.

Beliau berkata kerajaan masih belum mempunyai nama lagi untuk dokumen itu dan menyedari sensitiviti penggunaan perkataan ‘kad’.

Beliau berkata projek itu akan memberi tumpuan kepada pendatang asing.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top