DARD Kemuka Saranan Menarik Untuk Hidupkan Kembali Industri Pelancongan Sabah, Sarawak

DARD-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan dan negeri perlu membenarkan rentas negeri antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak tanpa perlu permit polis atau kelulusan khas sebagai salah satu usaha menghidupkan kembali industri pelancongan di kedua-dua negeri berkenaan.

Selain itu percutian domestik ke Sabah dan Sarawak perlu digalakkan oleh kerajaan pusat, manakala kerajaan negeri pula harus memberi peluang kepada industri pelancongan beroperasi mengikut SOP yang ketat.

Demikian antara saranan yang dibuat oleh bekas menteri kabinet persekutuan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (DARD) dalam hantaran di laman Facebooknya, Jumaat lepas.

Beliau membuat saranan itu sebagai mengulas laporan akhbar Daily Express bahawa Sabah merupakan destinasi kedua tercorot di Malaysia yang dikunjungi pelancong tempatan. Sarawak adalah destinasi terendah.

Daily Express juga melaporkan bahawa kadar penginapan hotel-hotel di Sabah hanyalah 6% dari keseluruhan bilik sedia ada.

Menurut Abdul Rahman, menggalakkan kemasukan pelancong dari Malaysia Barat sepatutnya tidak menjadi masalah kerana perjalanan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak hanya boleh dilakukan melalui penerbangan.

“Sekarang ini SOP yang ketat wajib dipatuhi iaitu setiap orang yang ingin terbang ke Sabah perlu menunjukkan bukti  swab test yang negatif tiga hari sebelum dibenarkan terbang. Maknanya semua penumpang ke Sabah sudah dibuktikan tidak ada virus Covid.

“Begitu juga, mereka yang mahu kembali ke Semenanjung akan diminta menjalani ujian swab sekali lagi bagi memastikan mereka tidak ada jangkitan,” katanya.

Mengenai cadangan supaya pelancongan domestik ke Sabah dan Sarawak diberikan galakan, Abdul Rahman berkata, perkara itu juga sepatutnya tidak menjadi masalah kerana semua hotel terkemuka di Sabah sudah pun menjalankan SOP yang ketat seperti mana yang dikehendaki oleh kerajaan.

Katanya, banyak hotel-hotel di pulau peranginan di Sabah terpencil dan tidak terdedah kepada kunjungan orang tempatan.

Tambah beliau, hotel-hotel ini perlu dibenarkan mengadakan aktiviti mereka sendiri seperti snorkelling, memancing, menyelam dan sebagainya dengan SOP yang ketat, misalnya dengan menghadkan aktiviti kepada kawasan di mana hotel itu berada sahaja.

“Satu kerjasama yang rapat antara hotel, syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan dan pemain industri pelancongan di Sabah dan Sarawak perlu dijalinkan dengan dipelopori oleh kementerian pelancongan pusat dan negeri.”

Beliau memberi contoh, harga bilik hotel di Sabah dan Sarawak sekarang sudah murah, namun syarikat penerbangan juga perlu turunkan harga tiket supaya lebih ramai orang yang terbang bercuti ke kedua-dua destinasi itu.

Ketua UMNO Bahagian Tuaran yang juga Pengerusi UMS itu turut menyarankan kerjasama antara syarikat penerbangan, kilinik dan hotel bagi menurunkan kos ujian RTK pada tahap minimum sebagai galakan kepada kedatangan pelancong.

“Penumpang kapal terbang terpaksa membayar kos ujian swab test mencecah sampai RM100 ke RM150 untuk ujian RTK- Antigen sebelum terbang ke Sabah, bayangkan jika membabitkan satu keluarga lima orang, kosnya sahaja mencecah antara RM500 hingga RM750.

“Oleh sebab ujian ini dibuat dua kali kerana pelancong perlu menunjukkan ujian swab yang negatif bila pulang ke Semenanjung, kos ujian swab sahaja adalah antara RM1,000 hingga RM1,500,” ujarnya.

Untuk itu katanya, adalah lebih praktikal pihak-pihak yang disarankannya bekerjasama menurunkan kos itu memandangkan kos  pembelian satu kit ujian RTK hanya antara RM20-RM50 sahaja.

“Saya bukannya mengatakan semua ini mudah, tetapi bila kita fikirkan kesannya terhadap ekonomi Sabah dan Sarawak, bebanan kepada industri perlancongan dan fenomena kehilangan pekerjaan yang teruk, kita semua perlu berfikir di luar kotak.

“Mungkin PKP tidak lagi mampu untuk menurunkan kes Covid-19 di negara ini. Harapan kita sekarang bergantung kepada keberkesanan vaksin untuk menghapuskannya,’’ tambah beliau.

Menurutnya, walaupun  PKP dapat menurunkan kes sehingga sekitar 2000 atau 2,500 kes sehari, angka itu pun masih tinggi dan tentulah tidak wajar sektor ekonomi disekat atau ditutup sehingga kes turun kepada kosong.

“Pada waktu itu tidak akan ada industri pelancongan yang boleh berdiri. Semuanya akan kecundang dan kitaran kesan negatif akan dirasai oleh semua orang.

“Pilihan yang mungkin lebih praktikal ialah longgarkan sekatan terhadap aktiviti ekonomi dengan memastikan SOP dipatuhi dengan ketat,” tegasnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top