DARD Kembali ke Kota Belud?

DARD.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (DARD) memberi bayangan akan kembali bertanding semula di kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang tewas kepada calon Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman, di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU-14) berkata, namanya ada dalam senarai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama pemimpin lain.

Walaupun tidak menyebut disenaraikan di kerusi mana, beliau yang pernah menyandang kerusi Parlimen Kota Belud selama dua penggal sejak 2008 menyatakan minatnya untuk kembali berkhidmat di kerusi berkenaan.

“Soal sama ada saya bertanding atau tidak, itu terpulang kepada keputusan parti tapi saya diberi gambaran aspirasi kepemimpinan parti untuk saya tawarkan diri bertanding pada PRU-15.

“Sebagai ahli politik, niat untuk berkhidmat dan menyumbang idea bagi membangunkan negeri dan negara memang ada dalam sanubari saya dan saya tidak keberatan menawarkan diri.

“Cuma jangan tanya saya di mana kerana saya tidak mahu mendahului kepemimpinan tertinggi parti.

“Namun, kerusi mana saya bertanding kamu boleh senarai pendekkan. Saya tidak tinggalkan Kota Belud, tapi saya diarah oleh parti berpindah ke tempat lain walaupun saya bantah dan ia tidak berhasil, strategi tidak mengena.

“Dipindahkan ke kerusi Parlimen Sepanggar dalam masa tiga bulan sebelum PRU-14 adalah tidak begitu mengena,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) di sini, semalam.

Abdul Rahman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UMS berkata demikian ketika ditanya sama ada akan bertanding semula pada PRU-15.

Katanya, beliau mempunyai banyak idea yang masih tergendala di Kota Belud dan mahu menyambungnya semula.

Malah, katanya walaupun ketika ini beliau bukan lagi Ahli Parlimen, usaha melaksanakan apa yang dijanji ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Belud tetap diteruskan, termasuk penubuhan sebuah politeknik.

“Saya sudah janji penubuhan politeknik, saya tetap usahakan kelulusan politeknik daripada kerajaan Persekutuan dan hari ini Jabatan Tanah dan Ukur berada di Kota Belud mengukur tanah.

“Kelulusan sudah diberi untuk fasa satu Politeknik Kota Belud dan ini usaha saya untuk menyambung apa yang tergendala,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak jika dicalonkan di kerusi Parlimen Tuaran atas kapasitinya sebagai Ketua UMNO Tuaran jika kepemimpinan parti menyenaraikan namanya di sana.

Parlimen Tuaran sebelum ini ditandingi parti komponen BN, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika masih berada di bawah gabungan berkenaan.

Kerusi berkenaan ketika ini disandang Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau, manakala kerusi Parlimen Kota Belud disandang pemimpin WARISAN, Isnaraisah Munirah Majilis. – Bharian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top