KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menegaskan parti itu menganggotai kerajaan dengan BN, bukannya dengan mana-mana individu termasuk pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam laporannya Malaysiakini memetik Loke sebagai berkata demikian ketika mengulas kebimbangan berhubung DAP kini bersama dengan Zahid, yang sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM31 juta Yayasan Akalbudi.
“Ini bukan tentang Zahid. Kerajaan perpaduan adalah dengan BN, bukan dengan mana-mana individu. (Tetapi) bersama gabungan.
“Secara prinsip, saya fikir semua orang dalam DAP faham ini,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat DAP di sini, pada Sabtu.
Pada masa sama, dia yang hari ini mengangkat sumpah sebagai menteri pengangkutan berkata DAP akan terus berusaha ke arah kerajaan bebas rasuah.
Katanya lagi, keputusan parti untuk memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, termasuk dalam kerajaan yang melibatkan gabungan lain, adalah berdasarkan “keadaan”.
Mengulas kes yang dihadapi Zahid, dia berkata ia terpulang kepada mahkamah.
“Ada proses mahkamah yang sedang berjalan.
“Dalam kabinet, kita hanya berbincang tentang agenda negara, tak akan disentuh kes peribadi masing-masing,” katanya lagi.
Tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah pada PRU lalu, menyebabkan Malaysia berdepan situasi Parlimen tergantung buat pertama kali.
PH menjadi gabungan dengan kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi, diikuti PN (73) dan BN (30).
Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar sebuah kerajaan perpaduan dibentuk. Ia dipersetujui antaranya oleh PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Jika kita tak bentuk kerajaan, alternatifnya adalah pihak lain yang tubuhkan kerajaan,” katanya lagi merujuk PN.
Dia berkata setakat ini, kerajaan baru berjalan dengan baik.
“Tiada ancaman (untuk tarik balik sokongan) dibuat. Dan setakat ini hubungan kerja bertambah baik.
‘Kami (menteri kabinet) baru saja selesai angkat sumpah, semua menteri ada.
“Kami bergaul dan cuba membina hubungan peribadi di kalangan menteri, memupuk kepercayaan,” katanya lagi.