DAP Sedia Kerjasama Dengan Warisan Di Bawah ‘Khemah Besar’

guan-eng-n-shafie.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) komited untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) bukan hanya di peringkat parti tetapi, di peringkat gabungan Pakatan Harapan (PH) di bawah pendekatan “Khemah Besar”.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, walaupun mungkin terdapat beberapa perbezaan yang tidak dapat dielakkan namun, penyatuan ini membolehkan mereka bersatu menentang ekstremisme dan perkauman yang dimainkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sekarang untuk menutup kegagalan dan tadbir urus mereka yang tidak cekap.

Beliau berkata, DAP memandang positif pelancaran Warisan secara nasional ke Semenanjung Malaysia sebagai sebahagian daripada proses pilihan raya bagi penyertaan bebas demokrasi dan integrasi wilayah Sabah dengan Semenanjung Malaysia yang lebih kukuh.

Warisan mengikut jejak langkah Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Katanya, pengembangan Warisan secara nasional sudah pasti akan mengakibatkan Warisan menerima pakai pendekatan menyeluruh Malaysia dan bukannya sekadar berpusatkan Sabah sekarang.

“Ini adalah positif ke arah integrasi nasional serta menggalakkan lebih banyak parti di peringkat nasional untuk menyertai DAP dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.

“Parti-parti di peringkat nasional akan membantu mempromosikan Sabah dalam konteks nasional kerana masalah Sabah juga merupakan masalah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, DAP telah menuntut peruntukan sumber negara yang lebih tinggi dan saksama untuk mengurangkan kemiskinan, di mana Sabah kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia walaupun memiliki sumber asli terkaya.

“Dalam konteks nasional itulah apabila saya membentangkan dua Belanjawan negara sebagai Menteri Kewangan, saya telah memperuntukkan perbelanjaan pembangunan tertinggi dalam sejarah kepada Sabah bukan sahaja daripada jumlah kasar tetapi juga daripada segi peratusan.

“Kegagalan dalam pengurusan Covid-19 dan ketidakupayaan untuk mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi sekarang adalah isu yang mengikat kita untuk mempertahankan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Satu permulaan yang baik adalah dalam mengambil pendirian bersama menentang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) pada hari Isnin ini di Parlimen.

AKTA 342 telah menyatukan semua rakyat Malaysia untuk membantah keras tindakan hukuman yang lebih tinggi bagi mereka yang gagal mematuhi SOP COVID-19.

Pindaan AKTA 342 oleh Kerajaan akan meningkatkan hukuman bagi individu kepada RM100,000 dan korporat kepada RM1 juta serta penjara sehingga tujuh tahun.

Tindakan hukuman sedemikian adalah lebih keras daripada menyebabkan kematian kerana kecuaian. Lebih penting lagi, penalti yang keras telah terbukti tidak berkesan dalam memerangi Covid-19 atau memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Malaysia telah melalui empat perintah berkurung secara keseluruhan dan lanjutan, pengisytiharan Darurat seluruh negara dan pelaksanaan penalti yang berat namun gagal sepenuhnya mengatasi pandemik COVID-19 yang akhirnya mengakibatkan 2,705,508 kes jangkitan dan angka kematian mengejutkan sebanyak 31,044 kematian.

Kerajaan gagal ketika itu kerana kepimpinan yang gagal, penguatkuasaan antara dua darjat, salah guna kuasa, dasar yang berubah-ubah dan pusingan U dasar kerajaan.

Apakah yang membuatkan kerajaan berfikir bahawa tindakan yang keras dan zalim seperti itu akan berkesan kali ini? Dalam menangani penyakit berjangkit, undang-undang tidak seharusnya bersifat menghukum tetapi pemulihan dengan memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan dan mitigasi.

Mengenakan penalti yang keras tidak berbeza dengan menyalahkan rakyat kerana gagal membendung pandemik Covid-19 dan membiarkan kerajaan lari daripada tanggungjawabnya. – Borneo Today

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top