KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Sim Fui (gambar) mendesak Ahli Jawatankuasa Parti Tindakan Demoktratik (DAP) Sabah George Wong Hsueh Cheng untuk tidak membuat kenyataan yang mengelirukan mengenai parti LDP.
Sim menegaskan bahawa parti DAP adalah berasal dari Semenanjung Malaysia dan bukan parti yang berpusat di Sabah.
“Perjuangan DAP didorong oleh kepentingan Malaysia Barat kerana parti terbabit berpusat di Semenanjung seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan (PH), UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MCA dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) di Perikatan Nasional (PN),” jelasnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, fakta-fakta ini boleh disahkan melalui laman web Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang tidak dapat dinafikan oleh George.
Beliau turut mempersoalkan George adakah Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakyat Sabah benar-benar boleh mempercayai DAP dan PKR sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai.
“Jawapannya jelas dengan krisis politik di Sabah yang mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dan menambah DAP mengutuk ‘katak politik’ yang mengkhianati parti.
Menurutnya, tidak sukar untuk mengerti mengapa rakyat menyebarkan tuduhan bahawa DAP adalah parti yang menipu.
Jelasnya, ketika rakyat marah dengan kerajaan PH kerana mengingkari manifesto, perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa janji-janji pilihan raya bukanlah kitab yang harus dipatuhi.
“DAP tidak bersuara menentang kenyataan berkenaan kerana mereka ingin melindungi kedudukan kerajaan ketika itu dan kepentingan diri mereka,” katanya.
Sim berkata, kenyataan tuntutan George bahawa LDP mungkin kekal dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan terbabit memenangi pilihan raya umum lalu hanyalah hipotesis.
“Pendirian LDP sangat jelas dan sederhana. Urusan Sabah haruslah diuruskan oleh rakyat Sabah sendiri,” katanya dan menjelaskan LDP adalah parti tempatan selaras dengan masalah yang dihadapi oleh akar umbi.
Tambahnya, apa yang diperlukan rakyat Sabah bukan pertikaian politik, provokasi kaum atau agama, tetapi pemimpin yang setia dan profesional serta berintegriti untuk menjalankan pemerintahan.