KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional negeri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata kemelut politik yang berterusan dalam DAP di Sabah adalah berpunca daripada krisis keyakinan terhadap parti itu berikutan prestasi buruknya dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak.
Bung Moktar berkata tindakan dua ADUN keluar parti di Sabah jelas menunjukkan bahawa ia kini berdepan krisis yang semakin meluas dengan penghakisan keyakinan yang semakin meningkat baik di dalam mahupun di luar parti.
“(Dalam) pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak, DAP kalah teruk dan sudah tentu (kesan) kekalahan itu turut dirasai oleh DAP Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bung Moktar mengulas tindakan ADUN Calvin Chong (Elopura) dan Justin Wong (Sri Tanjong) meninggalkan parti pada Khamis bersama bekas senator Adrian Lasimbang.
“Kita tidak pasti dengan perancangan dua ADUN itu. Saya percaya mereka mempunyai rancangan mereka sendiri.
“Apa pun, politik adalah dinamik dan… jika kita tidak yakin dengan apa yang kita perjuangkan maka kita perlu mencari hala tuju baharu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua ADUN yang meninggalkan DAP,” katanya.