Dana Persekutuan sahaja tidak cukup untuk selesaikan krisis air Sabah – Bung

IMG-20230906-WA0001.jpg

DSP Bung Moktar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pelan komprehensif merangkumi jangka pendek dan panjang diperlukan untuk menangani isu bekalan air terawat yang dihadapi oleh rakyat Sabah, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ketua Barisan Nasional Sabah itu berkata walaupun kerajaan negeri telah memohon dana Persekutuan, peruntukan itu sahaja tidak akan menyelesaikan masalah.

“Isu bekalan air berlaku di hampir semua daerah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Peruntukan RM320 juta untuk jangka pendek tidak akan mencukupi untuk menangani isu yang terus membebankan rakyat itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Lamag menggesa kerajaan negeri merangka pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan air yang boleh diyakini kepada pengguna domestik dan industri.

“Fokus mesti diberikan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan air dan liputan bekalan kepada rakyat di semua daerah, bukan hanya di Kota Kinabalu.

“Kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan mesti adil dalam menyediakan kemudahan asas kerana rakyat berhak mendapat bekalan air bersih,” kata Bung Moktar.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata semasa menjadi menteri kerja raya negeri, beberapa cadangan telah dikemukakannya kepada kerajaan Sabah untuk menyelesaikan masalah bekalan air.

Bagaimanapun, dakwanya, tiada tindakan konkrit diambil terhadap cadangan tersebut.

Bung Moktar juga menyentuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini bahawa isu air Sabah boleh diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

“Ia tidak begitu mudah. Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, bukan sekadar memastikan bekalan air mencukupi. Paip lama perlu diganti dan loji rawatan air mesti dinaik taraf.

“Ini sebagai tambahan kepada membina takungan baharu dan mengenal pasti sumber air baharu,” kata Bung Moktar.

Tambahnya, kerajaan mesti meneruskan rancangan untuk membina cadangan Empangan Papar sebagai sumber air baharu.

“Pelaksanaan adalah segera.

“Permohonan untuk mendapatkan dana mesti dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dakam masa terdekat,” katanya.

 

Berita asal: The Star

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top