Dana Judi: PAS Tuntut Anwar Kemukakan Bukti, PN Sedia Ambil Tindakan Undang-undang Jika Gagal

takiyuddin.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: PAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti bahawa Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana daripada syarikat perjudian dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan PN sedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan.

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas serta menganggapnya sebagai tuduhan liar semata-mata.

“PAS amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membayangkan kononnya dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

“Tuduhan itu langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar berkenaan jika ada.

“Sekiranya gagal, PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak yang memfitnah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

“Sama ada anda menggelar parti anda sebagai parti Melayu atau parti Islam, dana itu datangnya daripada syarikat perjudian,” katanya, yang memaklumkan akan menyemak perkara berkenaan.

Berita asal: Berita Harian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top