PETALING JAYA: Polis menyiasat beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) susulan dakwaan melakukan ugutan terhadap seorang lelaki dalam bilik siasatan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Insiden didakwa berlaku awal bulan lalu itu apabila beberapa pegawai SPRM sedang menyiasat seorang lelaki, yang dikatakan pengarah sebuah syarikat pembekal pelitup muka.
Ketua Polis Putrajaya, Asmadi Abdul Aziz, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat berkenaan, yang mendakwa dua pegawai SPRM memaksanya menulis surat pengisytiharan memindahkan wang RM1.7 juta kepada individu lain.
“Kertas siasatan sudah dihantar kepada jabatan perundangan dan pendakwaan di ibu pejabat polis negeri untuk mendapatkan tindakan seterusnya,” katanya kepada FMT.
“Sehingga kini, pegawai SPRM terbabit menafikan dakwaan, namun kes masih dalam siasatan.”
Terdahulu, akaun media sosial, Edisi Siasat, berkongsi apa yang dikatakan sebagai laporan polis berhubung kes berkenaan, yang mana pengadu mendakwa dia dikelilingi tiga pegawai SPRM dan seorang orang awam sebelum dua daripada mereka memaksanya menandatangani satu surat. – FMT