Dakwaan Shafie tidak berasas – Masidi

masidi-2.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun dengan tegas menolak dakwaan tidak berasas yang disebarkan dalam talian yang cuba mengaitkan usaha mengumpul dana SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) baru-baru ini sebagai serupa dengan skandal 1MDB.

Sambil menegaskan bahawa semua pihak dan individu yang terlibat mesti berhenti menyebarkan maklumat palsu dan membuat kenyataan melulu kepada orang awam, Masidi berkata, dakwaan yang dibuat itu semata-mata bertujuan mengelirukan rakyat.

“Presiden Parti Warisan Sabah dan Adun Senallang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah membuat tuduhan tidak berasas sama sekali yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat Sabah berhubung penstrukturan semula GLC Kerajaan Negeri, iaitu pengambilalihan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) oleh SMJE dan penstrukturan semula atau pembiayaan semula pinjaman daripada Sabah Development Bank Berhad (SD Bank),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Gambar fail

Mengenai pengambilalihan SIP oleh SMJ Energy Sdn Bhd dan penggunaan Sukuk RM900 juta, Masidi berkata ia disahkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada November 2023 diikuti kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Setiausaha Tetap Kementeriannya pada 29 Mei 2024, bahawa pengambilalihan itu SIP oleh SMJE dan penstrukturan semula hutang SIP melalui terbitan Sukuk RM900 juta adalah langkah pertambahan nilai yang membawa faedah berikut:

* SIP akan menjimatkan lebih RM60 juta setahun kerana faedah Sukuk adalah lebih rendah daripada faedah yang perlu dibayar kepada SD Bank;

* Bon tertunggak SD Bank kini dikurangkan sebanyak RM700 juta dan boleh meneruskan operasi terasnya sebagai bank pembangunan untuk membiayai projek dalam bidang fokus tenaga, air dan infrastruktur;

* Hasil daripada penstrukturan semula ini, SMJE telah menerima RM397 juta melalui pemilikan 10 peratus SIP dalam Petronas LNG9 Sdn Bhd (PLNG9). Pemilikan 10 peratus PLNG9 (kini dipindahkan dari SIP ke SMJE) akan terus menjana pendapatan dianggarkan sebanyak RM150 juta setahun untuk tempoh 13 tahun akan datang bagi SMJE; dan

* Operasi dan aset lain SIP, termasuk perkhidmatan dan aset luar pesisirnya (FPSO/FSO) telah menjana RM271 juta dalam pendapatan untuk SMJE sejak pengambilalihan tersebut.

Masidi turut menjelaskan Program Sukuk Wakalah tertakluk kepada penggunaan hasil yang ketat, termasuk pembiayaan perbelanjaan modal, menanggung kos yang berkaitan dengan perniagaan tenaga, membiayai semula pembiayaan Islamik yang sedia ada dan akan datang, serta menanggung perbelanjaan yang berkaitan.

Hasil Sukuk digunakan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada SIP dengan SD Bank yang mematuhi program Sukuk Wakalah dan prinsip Syariah yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai sebahagian daripada latihan penstrukturan korporat.

Berhubung penyebaran maklumat palsu itu beliau berkata Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil semua tindakan yang bersesuaian bagi mempertahankan reputasinya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top